Cadangan 22 projek atasi kesesakan tidak mendapat maklum balas persekutuan

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI 

GEORGE TOWN – Bagi mengatasi masalah kesesakan lalulintas di negeri ini, sebanyak 22 projek pembinaan dan pembangunan Kerajaan Negeri yang telah dihantar kepada kerajaan persekutuan belum memperoleh sebarang maklum balas daripada pihak bertanggungjawab berkenaan.

Antara projek utama yang tersenarai adalah projek pembinaan sebuah jejambat menghubungkan laluan Jalan Tun Hussein Onn (Seberang Jaya) dan Lebuhraya Butterworth-Kulim (Butterworth-Kulim Expressway – BKE) dalam Rancangan Malaysia ke-9 dan Rancangan Malaysia ke-10.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air, Telekom) dan Pengangkutan (Udara, Laut, Keretapi), Lim Hock Seng, cadangan pembinaan laluan alternatif tersebut adalah bagi mengatasi kesesakan lalulintas di bulatan Seberang Jaya antara laluan Jalan Tun Hussein Onn ke Butterworth.

“Laluan di bulatan Sebarang Jaya acapkali sesak terutama ketika waktu puncak hari bekerja. Hal ini turut menyebabkan laluan Lebuhraya Utara Selatan menuju ke selatan dan Jambatan Pulau Pinang sesak.

“Justeru, Kerajaan Negeri telah mengemukakan cadangan pembinaan laluan alternatif keempat sejauh tiga kilometer menghubungkan laluan BKE di kedua-dua arah kepada Kerajaan Persekutuan. Namun, hingga kini masih belum ada tanda-tanda bahawa cadangan tersebut diterima atau diluluskan,’’ katanya pada sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Beliau bercakap demikian bagi mengulas kenyataan parti politik Gerakan yang telah mendesak Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalulintas di kawasan tersebut dengan kadar segera sebelum ini.

Tambah Hock Seng, projek pembinaan yang bakal menelan belanja RM215.4 juta itu bukan sahaja mampu mengatasi masalah kesesakan di kawasan tersebut malah turut memberi manfaat kepada pengguna-pengguna jalanraya.