Mengapa pusat tak salur hak projek pembangunan negeri ke P.Pinang

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Langkah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyalurkan semua projek pembangunan Pulau Pinang kepada Pejabat Pembangunan Negeri Persekutuan (PPNP) adalah bercanggah dengan konsep demokrasi persekutuan negeri, kata Y.A.B Tuan Lim Guan Eng.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, kerajaan pusat sepatutnya menyalurkan semua projek pembangunan negeri melalui Pejabat Daerah negeri demi kepentingan rakyat.

“Bukan sahaja PR (Pakatan Rakyat) telah menangi majoriti dua per tiga dengan 29 daripada 40 buah kerusi negeri. Malah, (PR) juga menang 11 daripada 13 buah kerusi Parlimen di Pulau Pinang.

“Jelas sekali wang sumbangan oleh Pulau Pinang dalam bentuk cukai pendapatan dan kastam tidak diberikan balik kepada rakyat Pulau Pinang.

Sebaliknya, semua wang sumbangan dikuasai penuh oleh BN sungguhpun (kerajaan negeri era BN) telahpun ditolak peringkat negeri dan Parlimen oleh rakyat Pulau Pinang,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata, Kerajaan Negeri berhak mendapat projek pembangunan negeri secara adil memandangkan cukai yang dikutip daripada rakyat di negeri berkenaan diserahkan kepada kerajaan pusat saban tahun.

Dilaporkan, kerajaan pusat menyalurkan RM231.08 juta kepada PPNP yang dikuasai oleh BN pada tahun 2008.

Manakala, dari tahun 2001 hingga 2008, kerajaan pusat menyerahkan RM794 juta kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang juga diteraju oleh BN.

“Jelas BN tidak menghormati keputusan demokrasi rakyat Pulau Pinang dan menjalankan diskriminasi kewangan sedemikian,” tegasnya.

Dari Mac 2008 sehingga 15 November 2011, Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang telah melaksanakan 2,822 projek bernilai RM231.08 juta.