Cadangan jajaran LRT pertama dihantar ke SPAD – Exco

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus telah menyerahkan cadangan jajaran pertama projek aliran transit aliran ringan (LRT) Bayan Lepas kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada 29 Mac 2016.

Menurutnya, permohonan rasmi tersebut adalah sebahagian daripada cadangan jajaran LRT di bawah Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang merangkumi laluan dari Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) ke Bayan Lepas.

“Penghantaran kertas cadangan jajaran pertama LRT di bawah PIP pada 29 Mac lalu merupakan satu sejarah buat Kerajaan Negeri khususnya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Laman Sesawang Pelaksanaan PIP Pulau Pinang yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini baru-baru ini.

Hadir sama, barisan Exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Parlimen, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), rakan pelaksana projek PIP seperti SRS Consortium Sdn. Bhd., Consortium Zenith BUCG Sdn. Bhd., Malaysian Resource Corporation Berhad (MRCB) serta wakil-wakil dari Bahagian Kerajaan Tempatan dan Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi Negeri.

Sistem LRT, jajaran pertama sejauh 30 kilometer itu merupakan sebahagian laluan di bahagian timur pulau iaitu dari Komtar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA).

Dalam perkembangan sama, Kerajaan Negeri turut melancarkan laman sesawang rasmi bagi projek PIP Pulau Pinang yang boleh dilayari melalui alamat url, http:// pgmasterplan.penang.gov.my.

Dalam pada itu, Guan Eng memberitahu, inisiatif memuat naik maklumat terkini berhubung pelaksanaan projek PIP bernilai RM27 bilion itu secara atas talian menunjukkan ketelusan Kerajaan Negeri dalam perkongsian maklumat.

“Saya berharap laman sesawang ini dapat dimanfaatkan oleh setiap lapisan masyarakat dalam mendapatkan informasi yang tepat dan terkini berkaitan pelaksanaan PIP di Pulau Pinang,” ujar beliau.

Melalui laman sesawang tersebut, orang ramai boleh memberi sebarang maklum balas, cadangan mahupun pertanyaan melalui atas talian.

Malah, soalan lazim atau Frequently Asked Question (FAQ) berhubung projek PIP dan laporan ringkas (Concise Version) kajian PIP oleh Halcrow dan ACJ Planning juga boleh dimuat turun secara percuma.

} else {