YDP harap PICCS jadi acara tahunan promosi Seberang Perai

Teks & Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

TELUK AIR TAWAR – Yang diPertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Datuk Maimunah Mohd. Sharif berhasrat menjadikan penganjuran Penang International Cross Channel Swim (PICCS) sebagai acara tahunan dalam usaha mempromosikan Seberang Perai sebagai salah satu destinasi pelancongan negeri.

Ujarnya, kejohanan bertaraf antarabangsa seperti PICCS bukan sahaja mampu mempromosikan Pulau Pinang secara keseluruhannya, tetapi juga menjadikan Seberang Jaya sebagai lokasi pilihan pelancong negeri ini.

“Selain acara tahunan bertaraf antarabangsa seperti larian Jambatan Pulau Pinang, PICCS juga dilihat mampu menarik penyertaan dari luar negara.

“Misalnya tahun ini, PICCS berjaya menarik 173 penyertaan dari negara-negara seperti Sepanyol, China, Sweden dan Jepun…tidak mustahil jika dijadikan acara tahunan, lebih banyak penyertaan akan diterima pada masa-masa akan datang,” katanya ketika hadir menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah 2nd Penang International Cross Channel Swim di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran MPSP, Sr. Rozali Mohamud, Soh Yew Siang (Naib Presiden Persatuan Renang Amatur Pulau Pinang) dan Li Hong Qi (Pengerusi Persatuan Renang Zhenghou, China).

Difahamkan, pada kejohanan kali ini, sejumlah 173 penyertaan diterima bagi edisi kedua berbanding 169 tahun lalu.

Dalam pertandingan tersebut, para peserta dikehendaki berenang merentasi Selat Melaka sejauh 6.5 kilometer (km) bermula dari Persiaran Gurney (bahagian pulau) dan berakhir di Pantai Bersih, Bagan Ajam di sini.

Peserta muda berusia 12 tahun dari Melaka, Gan Jie Hui memenangi tempat kedua bagi Kategori Wanita Bawah 40 Tahun dengan catatan masa 2 jam 56 minit di belakang perenang dari Sepanyol, Lorena Peral Fernandez, 34 (2:41) yang muncul juara bagi kategori tersebut.

Peserta Sepanyol, Jose Luis Larrosa Chorro, 35, mengungguli Kategori Lelaki Bawah 40 Tahun dengan catatan masa 1:41 meninggalkan perenang tempatan, Loo Yun Ting yang menduduki tempat kedua (2:01).

Bagi kategori atas 40 tahun, ia dimenangi oleh perenang dari negara China bagi kedua-dua kategori iaitu Wang Zhiyong, 41, bagi kategori lelaki dengan catatan masa 2:41 dan Zhang Changhua, 46 (wanita, 3:14).

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);