Cadangan pendedahan aspek integriti bantu kurangkan masalah disiplin pelajar

P A N T A I JEREJAK – Bagi memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar, Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Rosli Jaafar mencadangkan supaya pendedahan terhadap erti integriti dilaksanakan di peringkat sekolah bagi melahirkan generasi beretika dan sekaligus mengurangkan masalah disiplin di institusi berkaitan.

Katanya, pemerkasaan dan pendedahan terhadap pengertian integriti bakal membuat pelajar lebih mendalami erti kata tersebut dan seterusnya, untuk jangka panjang dapat membantu pengurusan sekolah mengurangkan masalah disiplin dalam kalangan pelajar.

“Penekanan dari segi penghayatan dan pemahaman bukan sahaja mampu melahirkan pelapis kepimpinan negara yang boleh diharapkan, malah amalan rasuah yang berpunca dari kurangnya integriti juga mampu dibendung.

“Keberkesanan pelaksanaan aspek integriti telah terbukti di negara-negara maju dan sebagai sebuah negara membangun, wajar aspek ini diberi penekanan khususnya dalam kalangan pelajarpelajar di bangku sekolah,” ucapnya pada Program Kesedaran Integriti Bagi Pelajar Sekolah Rendah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bayan Baru di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Negeri Pulau Pinang (IINPP), Rozaidi Abdul Rahim Razali dan Guru Besar SK Bayan Baru, Che Salmah Ahmad.

Mengulas lanjut, Rosli memberitahu, PDC bersama-sama IINPP mengambil inisiatif menganjurkan secara tahunan program kesedaran integriti sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) demi kelestarian masyarakat.

“Sebanyak empat sekolah dipilih bagi pelaksanaan program kesedaran integriti termasuk SK Seri Permai, SK Batu Kawan dan SK Seberang Jaya,’’ jelasnya.

Rosli dalam pada itu turut melahirkan rasa terkejut apabila Kajian Indeks Persepsi Integriti Nasional yang dijalankan oleh Transparency International (TI) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) memperlihatkan persepsi pelajar di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) mengenai gejala rasuah di Malaysia adalah amat kurang menyenangkan.

“Berdasarkan kajian tersebut, sejumlah 80 peratus responden dalam kalangan pelajar IPT di Malaysia berkemungkinan terlibat dengan gejala rasuah tanpa diketahui umum.

“Pastinya hasil kajian ini menunjukkan aspek integriti dalam sebilangan besar masyarakat kita adalah amat nipis.

“Saya berharap program kesedaran integriti ini dapat diteruskan dari masa ke masa kerana ia mampu memberi impak kesedaran bukan sahaja terhadap pelajar, bahkan ibu bapa dan guru-guru yang hadir,’’ ujar beliau.document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);