PROTUNe komited pupuk budaya usahawan dalam kalangan pelajar

BAYAN BARU – Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) komited untuk memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah menerusi Program Perintis Usahawan dan Program Tunas Niaga atau PROTUNe.

Penolong Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan Usahawan PDC, Amran Hashim berkata, penganjuran program tersebut dilihat mampu membuka minda pelajar dalam menjadikan bidang keusahawanan serta perniagaan sebagai suatu kerjaya yang menguntungkan pada masa hadapan.

Jelasnya, PROTUNe yang dimulakan sejak tahun 1998 tersebut merupakan salah satu platform yang berjaya melahirkan ramai usahawan termasuk usahawan atas talian (online).

“PROTUNe akan membentuk budaya keusahawanan dan meningkatkan kemahiran serta pengetahuan untuk melaksanakan perniagaan secara berkesan dalam kalangan pelajar.

“Keusahawanan adalah antara perkara penting kepada individu, keluarga, pembangunan masyarakat, negara serta agama.

“Justeru, pembentukan budaya keusahawanan ini haruslah dimulakan dari peringkat persekolahan lagi, dan sebagai pemangkin, Program Tunas Niaga diwujudkan bagi mencapai matlamat tersebut,” ujarnya ketika membacakan teks ucapan Pengurus Besar PDC pada Konvensyen PROTUNe Ke- 18 Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2015 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Sektor Pembangunan dan Kemanusiaan, Jabatan Pendidikan Pulau Pinang (JPPP), Izmi Ismail. Mengulas lanjut, Amran memberitahu bahawa pihaknya berharap lebih banyak sekolah di negeri ini merebut peluang dan menyertai PROTUNe.

Dalam majlis tersebut, Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi (SMKT) Bukit Mertajam dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi Konvensyen PROTUNe Ke-18 Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2015 sebagai Anugerah Syarikat Terbaik 2015.

Naib johan dimenangi, Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) St. George dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bakti (ketiga). Kemenangan tersebut membolehkan SMKT Bukit Mertajam membawa pulang trofi, sijil dan wang tunai berjumlah RM1,000.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);