Program Pertanian Bandar, kurang belanja harian isi rumah

Teks & Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

JAWI – Bagi mengekang kebergantungan tinggi terhadap sumber makanan import, Kerajaan Negeri pada pertengahan tahun ini melancarkan Program Pertanian Bandar sebagai galakan kepada penduduk bandar dan pinggiran bandar supaya menanam sendiri bahan makanan.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan permintaan hasil tanaman domestik, malah juga memberi impak besar sekiranya berlaku krisis makanan dunia.

“Jika sebelum ini, kita melihat tanaman sayur misalnya hanya diusahakan di kawasan perkebunan luas, namun melalui program ini, k ita berupaya men g gu nakan pendekatan laman edible atau lebih dikenali sebagai ‘kebun dapur’ untuk kegunaan sendiri di rumah.

“Malah, program yang menggunakan pendekatan praktikal ini juga dapat mengurangkan perbelanjaan harian isi rumah, di samping mengindahkan landskap kawasan sekitar dan menghasilkan hasil tanaman berjenama sendiri pada masa hadapan,” katanya ketika hadir merasmikan Program Ramah Mesra Bersama-sama Para Peserta Komuniti perkebunan Perkampungan Jawi di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee dan ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat.

Mengulas lanjut, Afif memberitahu, Program Pertanian Bandar di negeri ini kebanyakannya melibatkan sekumpulan penduduk mengusahakan kebun komuniti berdekatan kawasan perumahan masing-masing.

“Selain Jawi, ada lagi beberapa kawasan lain melibatkan lima daerah iaitu lapan kawasan di daerah Seberang Perai Selatan (SPS), tujuh di Seberang Perai Tengah (SPT) dan masing-masing empat di Seberang Perai Utara (SPU), Timur Laut dan Barat Daya.

“Semua peserta yang terlibat disokong oleh JKKK setempat dengan bimbingan Jabatan Pertanian Negeri dan juga beberapa agensi berkaitan lain yang turut berkongsi visi sama.

“Secara keseluruhannya, sambutan orang ramai terutama golongan sasar amat positif dan di pihak Kerajaan Negeri, kami amat menggalakkan lebih ramai lagi peserta tampil menyertai program berimpak positif ini pada masa hadapan,” katanya yang juga merupakan ADUN Seberang Jaya.