Cadangan pulang rebat kepada PBT akan dipertimbang – Jagdeep

Admin

GEORGE TOWN – Jika perlu, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang akan mempertimbang untuk menyalurkan pulangan tunai dalam bentuk rebat kepada kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi perbelanjaan tahun hadapan ekoran pengurangan hasil cukai taksiran semasa.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon dalam sesi persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-14 pada 12 Oktober 2020.

“Kita tak buat keputusan lagi, kalau perlu, kita akan buat (menyalurkan rebat kepada kedua-dua PBT),” responsnya di Dewan Sri Pinang dekat sini.

LEE Khai Loon

Sebelum pada itu, Khai Loon membangkitkan kebimbangan mengenai hasil tahunan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mungkin akan berkurangan jika kadar cukai taksiran tidak dinaikkan ikut penilaian semasa.

Menjawab soalan itu, Jagdeep memberitahu bahawa unjuran asal kutipan hasil cukai taksiran MBPP adalah RM54.42 juta berbanding unjuran baharu RM19.53 juta.

Menurutnya lagi, unjuran asal kutipan hasil cukai taksiran MBSP adalah RM39.74 juta berbanding unjuran baharu RM27.85 juta.

“Kita memang telah membuat penilaian semula pada tahun lepas, tetapi, di bawah Akta Kerajaan Tempatan (1976), memang ada ruang untuk orang awam membuat bantahan (berhubung cadangan menaikkan kadar cukai taksiran).

“Antara rungutan yang diterima daripada pelbagai pihak adalah COVID-19.

“Akibat rungutan (pelbagai pihak berkepentingan) itu, memang ada beban yang banyak atas bahu kita (PBT).

“Namun, ini (adalah) Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang prihatin, tidak mengapa,” jelasnya lagi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD