271 individu ditawar miliki hartanah mampu milik dekat George Town

Admin
img 7474

PENGKALAN KOTA –  Seramai 271 individu terpilih berpeluang memiliki hartanah di bandar raya George Town pada harga yang murah.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata kesemua mereka ditawarkan Rumah Mampu Milik (RMM) Jenis B (RM72,500) dekat Jalan C.Y Choy yang begitu strategik dengan pelbagai kemudahan.

“Saya yakin anda semua hari ini adalah insan yang paling gembira kerana ditawarkan RMM Jenis B di satu kawasan yang strategik, berhampiran pusat bandar dengan kemudahan yang lengkap.

“Sebagai Kerajaan Negeri, tanggungjawab kami memastikan bekalan RMM ini cukup untuk rakyat dengan sasaran 220,000 unit RMM pelbagai jenis menjelang tahun 2030,” ujar Sundarajoo pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran RMM Jenis B Projek Foreshore Apartment, Jalan C.Y. Choy di sini petang tadi.

Projek tersebut dijangka siap pada pertengahan tahun 2027.

img 7471


Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng; Pengurusan Besar Unit Perbadanan Ketua Menteri (CMI) Pulau Pinang, Datin S. Bharathi dan Pengerusi Tan Wah Group Sdn. Bhd., Dato Seri Hong Yeam Wah.

Difahamkan, Tan Wah Group membangunkan 321 unit RMM Jenis B dan baki unit-unit tersebut akan ditawarkan lagi melalui sistem Jawatankuasa Prestasi Dan Pencapaian Perumahan  (HOPE) kepada individu yang benar-benar layak.

Sundarajoo yang juga ADUN Perai menasihatkan orang ramai untuk terus mengemas kini data masing-masing dalam Sistem Maklumat Perumahan (SMP) kerana sehingga kini kurang 8,000 pemohon berstatus aktif manakala hampir 40,000 pemohon tidak aktif.

“Penting untuk anda kemas kini kerana daripada situ kita dapat tahu data-data semasa anda dan mudah proses penawaran dibuat.

“Ada juga yang baru kemaskini bulan Januari 2024 dan April sudah diberi tawaran kerana individu itu berstatus layak.

“Sukacita juga saya ingin nyatakan bahawa sepanjang saya menjadi Exco Perumahan sebanyak 2,765 nama telah diluluskan melalui enam mesyuarat HOPE yang dipengerusikan oleh saya sendiri.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI