Projek Tebatan Banjir Sungai Air Terjun dilaksanakan secara mampan dan mesra alam

KEBUN BUNGA – Pelaksanaan Projek Tebatan Banjir dan pemuliharaan sungai di Sungai Air Terjun di sini dilaksanakan secara mampan dengan menggunakan kaedah green solution atau mesra alam, tegas Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari.

Jelas beliau, kaedah lapisan riprap (batu-batuan) sepanjang tebing merupakan kaedah terbaik untuk dilaksanakan selepas Jabatan Pengairan dan Saliran Pulau Pinang (JPSPP) mengambil kira faktor-faktor geologi tebing di kawasan tersebut.

“Bagi makluman, pengukuhan tebing dengan menggunakan kaedah riprap adalah kaedah yang mesra alam, dan ia bukanlah grey solution yang menggunakan konkrit.

Riprap adalah kaedah paling sesuai dengan keadaan sungai yang berliku, tambahan pula batu-batuan yang diguna pakai untuk melakukan riprap ini merupakan bahan semula jadi dan selari dengan persekitaran Taman Botani.

“Kaedah (riprap) ini telah terbukti berjaya dilaksanakan di kawasan Sungai Ara, di mana kita menjangkakan selepas siap kerja penaiktarafan tersebut, lapisan riprap berkenaan akan dilitupi dengan rumput serta pokok renek yang menjalar sekaligus mencantikkan tebing seperti keadaan semula jadi,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga.

Hadir sama Jurutera Daerah JPSPP bagi Daerah Timur Laut, Noor Tilawati Osman.

Terdahulu, terdapat aduan berbangkit daripada pihak pembangkang berhubung pelaksanaan projek tebatan banjir berkenaan yang didakwa akan merosakkan khazanah semula jadi di kawasan tersebut di samping bakal meningkatkan risiko hakisan tanah dekat kawasan tebing sungai serta banjir di kawasan hilir.

Malah, pihak berkenaan juga mempersoalkan libat urus bersama-sama pihak-pihak berkepentingan serta kaedah pengorekan yang dilakukan.

Sebagai mengulas lanjut berhubung perkara itu, Zairil menjelaskan bahawa projek yang dilaksanakan tahun ini (2020) merupakan fasa dua dan ia adalah sambungan kepada projek fasa satu yang telahpun siap pada Disember 2019 bagi mengurangkan risiko banjir dengan meningkatkan isipadu simpanan air sungai.

“Pertama sekali, kerja-kerja ini bertujuan untuk mengurangkan risiko banjir di hilir Sungai Air Terjun dan Sungai Pinang memandangkan sungai ini sepanjang 5.38km (kilometer) merupakan cabang anak sungai yang menyambung terus ke Sungai Pinang.

“Skop kerja termasuklah pengorekan dasar sungai sedalam 0.6m (meter), pelebaran sungai mengikut lebar asal serta pengukuhan tebing sungai dengan menggunakan kaedah riprap.

“Manakala, skop projek pada fasa pertama tahun lalu merangkumi pembinaan weir di Sungai Air Terjun, pengukuhan tebing, pelebaran dan pendalaman sungai. Didapati selepas pelaksanaan kerja-kerja ini, keamatan banjir di kawasan terbabit telah berkurangan,” jelas beliau sambil menyifatkan tuduhan yang dilemparkan pihak berkaitan sebagai tidak berasas.

Mengikut jadual, penaiktarafan fasa dua melibatkan 400m tersebut dijangka siap sepenuhnya pertengahan September ini dengan kerja-kerja ditapak telah menjangkaui 75 peratus.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI