Cat logo ‘Saya Cinta Pulau Pinang’ di perumahan awam negeri diteruskan

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perumahan bakal meneruskan program pengecatan logo ‘Saya Cinta Pulau Pinang’ di skim perumahan awam miliknya bagi menanamkan rasa kependudukan, kesetiaan dan cinta terhadap negeri ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, bagi mencapai matlamat tersebut, sejak pelaksanaan program berkaitan pada Mac 2017, sebanyak 84 lukisan logo telah sempurna dicat di pelbagai skim perumahan awam negeri.

“84 skim perumahan tersebut masing-masingnya adalah 10 logo di Padang Tembak, Kampung Melayu (2), Paya Terubong (2), Taman Tun Sardon (20), Taman Free School (8), Seberang Jaya (4), Mak Mandin I (12), Mak Mandin Hijau (4), Taman Tun Dr. Awang (10), Rumah Pangsa Jalan Mohd. Saad (6), Jawi III dan Nibong Tebal (6).

“Sehingga kini, sebanyak RM196,896 telah dibelanjakan untuk kerja-kerja pengecatan logo ‘Saya Pulau Pinang’ di semua 84 skim perumahan negeri,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat pada lawatannya ke skim perumahan Padang Tembak di sini baru-baru ini.

Turut serta, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Akhmal Abu Basar.

Mengulas lanjut, Jagdeep turut memuji inisiatif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang turut bersetuju untuk melaksanakan pengecatan logo tersebut pada skim-skim perumahannya.

“Saya difahamkan, pihak PDC telah memulakan pendekatan ini di beberapa perumahan awam miliknya, seperti di Blok I Jalan Tengah, Bayan Baru; Blok D5 Lorong Tuna, Seberang Jaya; Blok D20 Lebuh Tuna, Seberang Jaya dan Blok 344 Gat Lebuh Macallum,” jelasnya.