Menjadi komitmen Kerajaan Negeri pastikan perumahan awam diselenggara dengan baik – Exco

AIR ITAM – Kerajaan Negeri bakal memperuntukkan sejumlah RM1.2 juta bagi melaksanakan 12 projek penyelenggaraan di skim perumahan Padang Tembak tahun ini (2018), kata Jagdeep Singh Deo.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan tersebut berkata, perumahan awam Padang Tembak merupakan skim yang menerima bahagian peruntukan penyelenggaraan paling banyak sejak tahun 2010 iaitu berjumlah RM29,684,044.55, melebihi 25 peratus daripada nilai keseluruhan.

“Sejak tahun 2010, sejumlah RM29 juta telah dibelanjakan Kerajaan Negeri untuk mengekalkan 3,660 unit yang terdiri daripada sembilan blok.

“Antara yang telah dilaksanakan termasuk kerja-kerja sivil, elektrik dan mekanikal seperti penggantian lif, paip pembentungan serta lainlain yang berkaitan.

“Justeru, untuk tahun 2018, kita (Kerajaan Negeri) telah merancang 12 projek penyelenggaraan untuk skim perumahan ini iaitu penukaran lif, menaik taraf kerja depoh sampah, pendawaian elektrik, bumbung, pembaikpulihan pam air dan penjana dengan nilai keseluruhan RM1.2 juta,” jelasnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Perumahan, Akhmal Abu Basar.

Menurut Jagdeep, daripada sembilan blok tersebut, tujuh blok telah dijual secara sewa beli kepada pemilik masing-masing sejak projek tersebut diwujudkan pada tahun 1969.

“Hanya baki dua blok iaitu Blok E dan Blok J sahaja masih di bawah Skim Sewa Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri masih bertanggungjawab mengekal dan menyelenggara semua (sembilan) blok ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu bahawa daripada 50 skim perumahan awam di lima daerah di Pulau Pinang, sebanyak RM117, 396, 105.03 telah dibelanjakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan sejak tahun 2010.

“Ia adalah komitmen kami (Kerajaan Negeri) untuk memastikan semua perumahan awam di negeri ini terus dikekal serta diselenggara dengan baik,” ujarnya.