Usaha pulihara alam sekitar secara berterusan ke arah Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & PPSN

HAMPIR 100 sukarelawan, kebanyakannya terdiri daripada kalangan kakitangan Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan para penduduk yang tinggal di kawasan Kuala Sungai Teluk Kumbar bergotongroyong membersihkan kawasan persisiran pantai berhampiran baru-baru ini.

Program tersebut digerakkan bagi memupuk kesedaran orang ramai terhadap usaha memelihara serta memulihara alam sekitar dan pada masa sama menjaga kebersihan pantai.

Timbalan Pengarah Projek SRS Consortium, Azmi Mohd. berkata, program seumpamanya harus dijalankan secara berterusan dan bukannya one-off sahaja kerana amalan penjagaan kebersihan adalah tanggungjawab bersama.

“Harapan kita, pelaksanaan program-program sebegini akan menjadi galakan secara berterusan untuk mengutamakan kebersihan kawasan persekitaran termasuklah (kebersihan) pantai.

“Walaupun umumnya Kerajaan Negeri menyediakan kontraktor bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan, kesedaran dan sikap peka masyarakat ditagih agar tidak sewenang-wenangnya membuang sampah dan bahan terbuang ke dalam aliran sungai dan laut,” ujarnya ketika ditemui pada penganjuran program berkaitan 9 Disember lalu.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dr. Mohamad Farazi Johari dan Ketua Jurutera bagi Special Purpose Vehicle (SPV) Kerajaan Negeri, Dato’ Ir. Ang Aing Thye.

Program gotong-royong di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) tersebut adalah hasil kelolaan Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dengan kerjasama Rakan Pelaksana Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR), SRS Consortium.

Ulas Azmi, seiring dengan slogan Kerajaan Negeri ke arah Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat, pihaknya (SRS Consortium) turut menitikberatkan pemeliharaan pantai supaya ia dapat dinikmati bukan sahaja oleh penduduk tempatan, malah pengunjung pantai.

Menurutnya, terdahulu pihak SRS Consortium melalui Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) yang ditubuhkan turut melaksanakan program penanaman anak pokok bakau bagi memulihkan eko-sistem di kawasan persisiran pantai.

“Bagi inisiatif ini, para sukarelawan dari SRS dan PPSN dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Nelayan-nelayan Pantai Pulau Pinang (PIFWA), Kerajaan Negeri dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Nibong telah menanam 500 anak pokok bakau di Sungai Acheh, Nibong tebal September lalu.

“Malah, tahun 2018, kita akan bekerjasama sekali lagi dengan PIFWA untuk menanam anakanak pokok bakau di kawasan yang telah dikenal pasti iaitu Pulau Betong,” ujar Azmi.

HULURKAN BANTUAN, RINGANKAN BEBAN

Ironinya, PPSN bukan sahaja berperanan sebagai pusat informasi sehenti untuk nelayan dan penduduk tempatan mendapatkan maklumat berhubung PSR, malah turut menubuhkan satu tabung khas bencana bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir luar biasa yang melanda Pulau Pinang pada 4 November lalu.

Antara yang menerima manfaat daripada tabung bencana tersebut ialah CHE MURNI CHE LAH, 46, seorang penjaja hasil laut di Sungai Batu, Teluk Kumbar. Bersimpati dengan keadaan rumah Che Murni yang uzur dan terjejas akibat banjir tersebut, PPSN dengan kerjasama Kerajaan Negeri tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga tersebut.

Ketika dihampiri Buletin Mutiara, Che Murni yang berperwatakan peramah tidak kekok berbicara, beliau yang ternyata berbesar hati dengan pertolongan tersebut berkata ‘kecil tapak tangan, nyiru dia tadahkan’

. Memulakan bicara, Che Murni memberitahu bahawa ketika hari kejadian, rumahnya dinaiki air hingga paras buku lali ekoran kawasan tersebut terletak bersebelahan longkang yang menyambung terus ke muara laut.

“Kebanyakan barang, tikar getah, dinding kesemuanya rosak, nak baiki pun, memerlukan duit juga.. tapi syukurlah, pihak PPSN datang bantu pulihkan keadaan dan bina ruang dapur yang baru.

“Jika dulu, bila hujan lebat air naik, makcik asyik ‘bergaduh’ dengan ular dan biawak yang masuk ikut celah-celah rumah yang bocor, tapi sekarang alhamdulillah lebih selesa,” ujarnya yang telah menetap di sini hampir 18 tahun bersama-sama sembilan ahli keluarga lain.

Ditanya berhubung PPSN, Che Murni berpendapat bahawa pusat berkenaan memberikan bantuan dengan seikhlas hati tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

“PPSN ni bukan kata ‘kami tolong hang, hang tolong kami’, tapi tolong dengan seikhlas hati untuk bantu orang yang betul-betul susah. “Kalau tak, nasib makcik masih di taraf yang sama tak macam sekarang rumah lebih selesa,” kongsi beliau.

Difahamkan, jika kesihatan mengizinkan Che Murni akan membantu suaminya, seorang nelayan untuk menjual hasil tangkapan laut dari satu kawasan ke kawasan lain menggunakan motosikal.

Bantuan sama, turut diterima AHMAD IDRUS, 68, iaitu seorang penganggur yang tinggal bersendirian di Kampung Masjid, Teluk Kumbar.

Rumahnya yang rosak akibat ribut pada Ogos lepas turut meraih simpati pihak PPSN dan Kerajaan Negeri.

“Amat sukar untuk saya memasuki dan meninggalkan rumah akibat pintu rumah yang rosak, nak baiki saya tidak mempunyai wang,” ujarnya ringkas sambil menyatakan bahawa beliau bergantung kepada bantuan kewangan RM300 yang diterima setiap bulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan hanya cukup untuk makan dan membeli ubat asas.

Selain orang-perseorangan, antara yang terkesan disebabkan kejadian banjir buruk tersebut ialah Pusat Jagaan Orang-orang Tua Rumah Charis di Relau.

Menurut Pengurus Operasinya, JANETTE TEOH, tahun ini pusat tersebut telah dinaiki air sebanyak lima kali, dan banjir yang berlaku pada 4 November lalu adalah yang paling dahsyat hingga ketinggian air mencecah tiga kaki.

Mengulas lanjut, tambah beliau, semua warga emas di pusat jagaan tersebut terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Pulau Betong.

“Apa yang lebih penting adalah nyawa, walaupun hampir semua barangan elektronik dan elektrikal di sini rosak sama sekali.

“Anggaran kerugian sukar ditentukan kerana selain barangan elektrikal, segala bentuk bantuan seperti makanan dan ubat-ubatan turut rosak,” ujarnya kepada wakil Buletin Mutiara.

Menyedari kepayahan meneruskan operasi tanpa alatan elektronik dan elektrikal, PPSN telah menghantar wakilnya untuk bertanyakan keperluan pusat jagaan tersebut.

Memuji inisiatif yang diambil, Janette berkata, sumbangan yang dihulurkan benar-benar membantu pihaknya meneruskan operasi seperti biasa.

“PPSN benar-benar membantu, mereka hantarkan wakil dan buat semakan tentang barang-barang keperluan.

“Beberapa hari kemudian, mereka datang ke sini berikan bantuan berbentuk utiliti dapur seperti oven, gelombang mikro, periuk nasi, mesin basuh dan lainlain,” jelas beliau.