@CAT nadi teknologi P. Pinang

GEORGE TOWN – Penubuhan Creative Animation Trigger (CAT) baru-baru ini adalah mencerminkan usaha Kerajaan Negeri dalam mempromosikan bidang sains, teknologi dan animasi kelompok kreatif di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, CAT yang ditempatkan di salah sebuah bangunan bersejarah dalam kawasan warisan UNESCO, Wisma Yap Chor Ee (WYCE) tersebut bakal menjadi nadi teknologi Pulau Pinang.

“Ia bakal berfungsi mempercepatkan penubuhan serta pertumbuhan syarikatsyarikat permulaan kreatif berasaskan teknologi, memupuk bakat-bakat baru dalam bidang pengkomputeran awan (cloud computing), aplikasi teknologi, analisa data besar (BDA) dan internet of things (IOT).

“Pada masa sama, ia juga bakal membantu mengembangkan bakat anakanak muda dalam bidang tersebut dengan menggalakkan idea-idea kreatif baru dan teknologi inovatif yang menjadi keutamaan kini,” katanya pada Majlis Pelancaran CAT baru-baru ini di sini.

Turut berucap, Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Rosli Jaafar. Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Penasihat Khas kepada Ketua Menteri, Datuk Lee Kah Choon dan Ketua Pegawai Operasi MdeC (Multimedia Development Corporation), Datuk Ng Wan Peng.

CAT di WYCE akan menempatkan tiga sektor utama di bawah satu bumbung iaitu, Penang @ CAT di aras tiga, CAT (aras dua) dan aras bawah dipajak kepada Penang Science Cluster.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu, pembentukan kelompok kreatif adalah berteraskan 3T iaitu Talent (bakat), Teknologi dan Toleransi idea-idea baru.

“Kejayaan ekonomi Pulau Pinang didorong oleh sektor pembuatan sejak 40 tahun lalu, namun trend industri semikonduktor global telah beralih kepada IOT baru-baru ini.

“IOT telah mula diguna pakai. Teknologi menggunakan mesin, perisian dan sensor kini menggunakan pengkomputeran awan untuk berkomunikasi antara satu sama lain dan permintaannya semakin meningkat kini,” ujar beliau.

Sebarang maklumat lanjut, sila layari laman sesawang www.acatpenang.com.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);