JKKK benteng utama, perlu proaktif tepis fitnah jahat

GEORGE TOWN – Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) diharap dapat bertindak dengan lebih proaktif terutama dalam menepis fitnah jahat yang dimainkan oleh pihak-pihak tertentu, di peringkat akar umbi.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian pada Majlis Penyerahan Watikah Lantikan JKKK di sini baru-baru ini.

Jelasnya, JKKK perlu memainkan peranan penting sebagai benteng utama dalam menyebar luas maklumat-maklumat betul berkaitan pentadbiran Kerajaan Negeri dan bertindak secara proaktif dalam satu gagasan.

“JKKK adalah ‘orang pertama’ yang dicari penduduk sekiranya timbul sesuatu permasalahan.

“Malah, JKKK juga berperanan sebagai ‘titi’ yang menghubungkan antara Kerajaan Negeri, jabatanjabatan atau agensi-agensi kerajaan dan rakyat setempat,” katanya pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Ghazali Derahman dan Pegawai-pegawai Daerah dari daerah Barat Daya, Seberang Perai Selatan (SPS) dan Seberang Perai Utara (SPU).

Turut hadir, bekas Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Mohamad Sabu dan Pegawai Penerangan Kerajaan Negeri, Zahar Zainul.

Mengulas lanjut, Guan Eng turut memberitahu bahawa dalam mengukuh dan memantapkan JKKK, Kerajaan Negeri bercadang untuk mewujudkan beberapa biro yang akan berperanan sebagai penggerak masyarakat setempat.

“Kukuhnya JKKK akan memberi gambaran kewibawaan Kerajaan Negeri dan sekiranya mekanisme yang dilaksanakan berkesan maka segala cela dan fitnah jahat dapat ditepis,” ujar beliau.

Semua lantikan JKKK berkuatkuasa mulai 1 Oktober 2015 hingga 31 Disember 2015. Sejumlah 20 unit wakil JKKK hadir dalam majlis tersebut.