GDVT tingkat bakat modal insan, kekal P. Pinang negeri berdaya saing

BAYAN LEPAS – Penajaan Kerajaan Negeri berjumlah RM2 juta dalam Program Latihan Berkembar Vokasional Jerman (GDVT) merupakan langkah penting bagi meningkatkan bakat dan kemahiran modal insan negeri ini terutamanya dalam mengekalkan Pulau Pinang sebagai negeri yang berdaya saing.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, program latihan tersebut merupakan sistem latihan vokasional Jerman yang pertama dan seumpamanya di Malaysia.

“Kerajaan Negeri berharap menerusi kerjasama tersebut, ia mampu melahirkan antara 500 hingga 600 tenaga kerja mahir kelak bagi mengurangkan ketidaksamaan pendapatan dan meningkatkan kemahiran segmen tenaga kerja di sini khususnya.

“Justeru, kita (Kerajaan Negeri) mengalu-alukan semua syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang, sama ada dari syarikat multinasional (MNC) atau industri perusahaan kecil dan sederhana (SME) untuk menyertai program ini,” katanya pada Majlis Menandatangani GDVT di sini baru-baru ini.

Pemeteraian tersebut adalah antara Pusat Kemahiran dan Pembangunan Pulau Pinang (PSDC) dengan Malaysia-German Chamber of Commerce and Industry (MGCC) dan beberapa syarikat lain yang ‘berasal’ dari Jerman.

Syarikat-syarikat berkaitan adalah, B Braun Medical Supplies Sdn. Bhd.; Carsem (M) Sdn. Bhd.; Dynacraft Industries Sdn. Bhd.; Inari Technology Sdn. Bhd.; Osram Opto Semiconductors (M) Sdn. Bhd.; Robert Bosch (M) Sdn. Bhd dan Southern Steel Berhad.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Profesor Dr. P. Ramasamy, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mokhtar Mohd. Jait, Pengurus Besar investPenang, Loo Lee Lian, Pengarah Eksekutif Penang Institute, Zairil Khir Johari, Ketua Pegawai Eksekutif PSDC, Muhamed Ali Hajah Mydin dan Pengerusi PSDC, Juergan Schloesser.

Dalam pada itu, Schloesser memberitahu bahawa pelaburan tersebut merupakan suatu langkah bijak.

“GDVT sebenarnya menggalakkan pengekalan pekerja dan pada masa sama, membangunkan bekalan pekerja yang cemerlang, terlatih dan kompeten dari segi teknikal sebagai saluran tenaga kerja mahir untuk keperluan perniagaan masa depan,” ujar beliau.

Sebagai projek GDVT, seramai 22 pelajar terpilih mengikuti program berkaitan.