CFAL 2014 – kempen berterusan laluan basikal

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Penganjuran program Campaign For A Lane (CFAL) 2014 memasuki tahun ke-6 dengan objektif untuk terus mewujudkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalanraya supaya bersama-sama ‘menjaga’ keselamatan penunggang-penunggang basikal di sini.

Pengerusi Penganjur CFAL 2014, Kenny Theng berkata, pada tahun ini, acara tersebut bakal berlangsung pada 17 Ogos ini dengan sasaran penyertaan seramai 4,000 peserta.

Mengulas lanjut, Kenny memberitahu bahawa sejarah penganjuran acara berkenaan adalah apabila beliau bersama-sama rakan-rakan yang menunggang basikal mendapati bahawa aktiviti sukan berkenaan adalah bahaya ekoran terpaksa berkongsi lorong dengan kenderaan bermotor.

“Justru, saya bertekad untuk menjayakan satu kempen bagi menjaga keselamatan para penunggang basikal di sini,’’ katanya pada sidang media pengumuman program CFAL 2014 di sini baru-baru ini.

Hasil penganjuran dan kempen berterusan sebelum ini, pelbagai inisiatif telah diambil dan diimplementasikan Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tenpatan (PBT) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Antaranya, trek basikal di jajaran pusat membeli-belah, Queensbay Mall dan simbol basikal bewarna putih yang ‘ditandakan’ di atas laluan-laluan tertentu di sini.

Lanjutan itu, Kenny berharap supaya trek basikal di jajaran Queensbay Mall dapat dilengkapkan hingga ke George Town. Mengulas lanjut, sebagaimana penganjuran tahun-tahun lalu, kayuhan akan dimulakan di Padang Kota lama di sini tepat jam 7 pagi mengelilingi pulau melalui Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu – Batu Maung – Teluk Kumbar – Balik Pulau – Teluk Bahang – Tanjung Bunga dan berakhir di Padang Kota Lama meliputi jarak keseluruhan 82 kilometer.

Malah, sebagai tambahan, dua hadiah cabutan bertuah utama berupa basikal bernilai RM11,000 turut menanti para peserta program.