Chong Eng ‘arkitek’ Briged Wanita

Admin

BELIAU dikenali sebagai  salah seorang ahli politik yang sangat cakna dengan keharmonian gender.

Isu pembelaan wanita dan anak-anak asuhan menjadi salah satu isu yang senantiasa basah di bibirnya.

Dalam tempoh lebih dua dekad ini, kelantangannya menentang diskriminasi serta keganasan gender tentunya menarik perhatian banyak pihak.

Maka, tidak hairanlah beliau diberi kepercayaan bertanding di Parlimen Bukit Mertajam pada tahun 1999 dan menang.

Selama tiga penggal menyertai Pilihan Raya Umum 1999, 2004 dan 2008, beliau memenangi sebagai Ahli Parlimen Bukit Mertajam.

Dalam sesi penggal pentadbiran lepas lagi, beliau diberi beberapa peranan khusus mengenai peranan pembangunan wanita dalam dimensi Kerajaan Negeri.

Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 baru-baru ini, beliau diturunkan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Lalang pula bagi mengukuhkan kepemimpinan Kerajaan Negeri.

Selepas menang, beliau diangkat menjadi Exco Belia & Sukan ,  Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti.

Beliau tidak lain tidak bukan, Chong Eng.

Chong Eng berkongsi  serba sedikit mengenai hasrat Kerajaan Negeri menubuhkan Briged Wanita Pulau Pinang semasa diwawancara secara eksklusif oleh wartawan Buletin Mutiara (BM), ZAINUL FAQAR YAACOB.

Briged Wanita
“ Penubuhan Briged Wanita ini selepas kejayaan kita menggerakkan Pertubuhan Tadbir Urus Baik dan Kesaksamaan Gender (3Gs) dan penasihat pada Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC).

“Caranya (Briged Wanita) operasi ada persamaan dengan JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti) dan
PPS (Pasukan Peronda Sukarela), tetapi, tugasannya dan peranannya sedikit berlainan.

“(Antara kelainannya) untuk  pendaftaran ibu tunggal kerana kita nak beri sumbangan emas RM100 setahun, ujar beliau di Komtar, di sini.

“Dia (Briged Wanita) juga akan menjalankan pendaftaran memogram percuma…dan satu lagi (pinjaman) mikro kredit (yang membabitkan wanita),” ujarnya.

Oleh kerana urusan utama adalah menyentuh kepentingan wanita sahaja, beliau berkata, eloklah Briged Wanita yang menguruskannya.

“Ini semua berkaitan wanita dan wanita paling sesuai untuk mengendalikannya,” ujar beliau.

Di sebalik penubuhan Briged Wanita, Chong Eng mahu wanita lebih berperanan dalam pembangunan negeri.

“Kita harap peranan wanita lebih diperkayakan, (maka) pendidikan dan penerapan kefahaman mengenai gender mereka perlu dimulakan,” ujar beliau sambil memberitahu bahawa Briged Wanita adalah hasil buah fikiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Pengasas PWDC, 3Gs Menerusi PWDC, Belanjawan Bertanggungjawab Gender (GRB) diperkenalkan pada penggal pentadbiran lepas dan Chong Eng salah seorang ‘arkitek gender’ itu.

Menerusi program ini, belanjawan khususnya peringkat setempat ditentukan menerusi keperluan gender.

Bajet ini ke arah memenuhi keperluan, lelaki perempuan, tua muda, kanakk anak dan pelbagai lapisan masyarakat.

“Program ini diperkenalkan supaya semua pihak lebih aktif dalam peringkat membuat keputusan, sama ada di peringkat bawahan, dalam JKKK ataupun di peringkat kerajaan tempatan, ” ujarnya.

Beliau berkata, kewujudan Briged Wanita Pulau Pinang adalah inisiatif Kerajaan Negeri mempersiap gerakan kesukarelawan.

“Ini lebih pada gerakan sukarelawan di mana Briged Wanita tiada elaun khusus (diberikan),” jelas beliau.

Kanak-Kanak Chong Eng berkata, beliau akan meneruskan satu projek yang tergendala ada sesi penggal pentadbiran lepas, iaitu mewujudkan pusat asuhan anak-anak kakitangan kerajaan sendiri di Komtar, di sini yang menempatkan bangunan pentabdiran Kerajaan Negeri.

“Cadangan kita di tingkat empat, Komtar,” ujar beliau.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya cuba untuk membina unit pembelaan kanak-kanak.

“Sebenarnya memang ada cadangan untuk satu portfolio khusus untuk kanak-kanak, membolehkan Kerajaan Negeri memberi bantuan kepada kanak-kanak yang didera dan sebagainya. Itu semua masih di peringkat cadangan.

“ Buat masa ini, kita sebenarnya sedang membuat penilaian semula segala inisiatif Kerajaan Negeri khusus untuk kanak-kanak sebelum apa juga cadangan dikemukakan selepas ini,” katanya.

Harapan Chong Eng memberitahu, beliau bersyukur kerana dikurniakan dua cahaya mata lelaki hasil perkahwinan campur dengan K. Gunabalan.

“Saya lahir dari keluarga  penoreh getah di sebuah negeri. Saya ada 10 adik-beradik, enam perempuan dan empat lelaki.

“Dalam keluarga ada kerja yang hanya orang perempuan lakukan ada kerja orang lelaki tidak melakukannya.

“Ini banyak mendidik saya mengenai kesaksamaan gender. Ini banyak memberi inspirasi kepada saya untuk memastikan keharmonian gender boleh diwujudkan di mana-mana, termasuk di negeri ini,” ujar beliau.

Di Universiti, katanya, beliau belajar mengenai hakhak wanita yang disaksamakan.

“Di situlah (Universiti), saya menaruh minat untuk memperjuangkan kesaksamaan gender. Semasa menyertai badan bukan kerajaan (NGO) pun, saya menggerakkan perjuangan ini.

“Sehinggalah saya terjun dalam arena politik (kepartian) pada tahun 1991. Sejak itu, perjuangan gender ini saya ketengahkan melalui arena politik,” tegasnya.

Selepas-sekian lama mengangkat isu-isu berkaitan wanita, beliau berkata sekaranglah masanya untuk ‘cakap serupa bikin’.