Majlis makan malam rai 70 atlet angkat berat

Admin

BATU UBAN – Seramai 70 orang  atlet angkat berat seluruh negara diraikan pada satu majlis makan malam bersempena Perasmian Kejohanan Angkat Berat Terbuka Kebangsaan 2013 bertempat di Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) di sini baru-baru ini.

Menurut Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia, Datuk Ong Poh Eng, pecahan penyertaan atlet pada kejohanan tersebut adalah seramai 49 lelaki dan wanita (21) membabitkan 16 pasukan.

“Seperti sedia maklum, kejohanan kali ini bertujuan memilih atlet berdaya saing bagi menjadi pelapis negara bagi sukan Angkat Berat ataupun mewakili negara dalam Sukan SEA ke-27 di Singapura.

“Saya berharap semua peserta dalam keadaan cukup bersedia. Jikalau anda kalah, diharap tidak berputus asa, malah, teruskan perjuangan dalam mengejar cita-cita mewakili negara  lantas mengharumkan nama negara di persada dunia,’’ katanya pada majlis berkenaan di sini baru-baru ini.

Tambah Poh Eng, beliau percaya bahawa dengan keinginan untuk berjaya, seseorang atlet perlu berbekalkan usaha dan disiplin, maka
tiada impian yang mustahil.

“Jangan dilupa juga, Pulau Pinang merupakan negeri yang cukup menarik.

“Luangkanlah masa untuk mengunjungi tempat-tempat menarik serta menikmati makanan yang enak seperti nasi kandar, laksa, char koay teow dan banyak lagi,” ujar beliau.

Turut hadir, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti dan Kesenian, Chong Eng.

Turut diadakan secara serentak adalah majlis penyerahan tugas ringkas oleh bekas Exco, Lydia Ong Kok Foi kepada Eng.