COVID-19 : MBPP, MBSP diarah tingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan

Admin

GEORGE TOWN – Rentetan peningkatan mendadak jumlah kes positif COVID-19 yang merekodkan tiga digit selama tiga hari berturut-turut di seluruh negara, Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini mengarahkan kedua-dua Majlis Bandaraya meningkatkan pemantauan supaya tindakan penguatkuasaan lebih pantas dapat diambil bagi membendung penularan virus berkenaan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menitikberatkan soal keselamatan dan kesihatan awam di negeri ini.

Kita (Kerajaan Negeri) memandang serius situasi ini (peningkatan kes positif COVID-19) dan telah memutuskan untuk meningkatkan pemantauan serta mengambil tindakan yang lebih tegas dan ketat dalam memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

“(Dan) hasil perbincangan bersama-sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), kedua-duanya telah bersetuju untuk menambah kekuatan petugas di lapangan bagi memantau pematuhan SOP di semua kawasan tumpuan awam, mulai hari ini” ujarnya kepada pemberita pada sidang media yang diadakan di Komtar pagi ini.

Dalam sidang media sama, Jagdeep turut membentangkan laporan pemantauan dan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh kedua-dua Majlis Bandaraya.

“Setakat 3 Oktober 2020, sebanyak 335,116 pemeriksaan telah dilaksanakan oleh MBPP dengan kadar pematuhan SOP berada pada tahap terbaik iaitu 99.65 peratus.

“Manakala, bagi MBSP pula, sebanyak 571,516 pemeriksaan telah dijalankan dengan kadar pematuhan 99.30 peratus.

“Bagi tindakan penguatkuasaan pula, sejumlah 33 premis telah ditutup iaitu bagi MBPP satu pasar awam ditutup, pasar raya mini (2), kedai makan (10).

“Di Seberang Perai pula (di bawah MBSP), satu pasar malam ditutup, pasar pagi (1), premis hiburan (1), premis makanan (4) dan pelbagai jenis premis (13) telah diarah tutup kerana tidak mematuhi SOP,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Jagdeep berkata, pihaknya akan meningkatkan kerjasama bersepadu bersama-sama agensi Persekutuan bagi memastikan tahap pematuhan SOP dijaga.

“Sekiranya tidak patuh (SOP) tindakan lebih tegas akan diambil dan perkara ini tidak boleh diambil ringan kerana ia melibatkan keselamatan dan kesihatan awam,” tegasnya.

Terdahulu, Jagdeep turut merakamkan penghargaan kepada semua barisan hadapan termasuk petugas daripada kedua-dua Majlis Bandaraya yang bertungkus-lumus memastikan pematuhan SOP terus dipatuhi di negeri ini.

Kerajaan Negeri hargai segala usaha yang dilakukan dan pada masa sama akan memastikan pekerja barisan hadapan juga selamat.

Saya juga ingin menyeru kerjasama semua pihak supaya terus mematuhi SOP agar Pulau Pinang boleh kembali menjadi zon hijau seperti sebelum ini.

“(Dan) orang ramai juga boleh melaporkan sebarang ketidakpatuhan SOP kepada pihak Majlis Bandaraya dengan menghubungi pihak berwajib untuk tindakan lanjut,” katanya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN