Dasar baru sewa dewan mesra pelanggan

Admin

Oleh : ZULIANA AZIZ

SALAH sebuah dewan yang terdapat di Seberang Perai.
SALAH sebuah dewan yang terdapat di Seberang
Perai.

SEBERANG PERAI – Bagi memberi perkhidmatan yang murah dan mampu ditanggung pihak penyewa dewan, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah melaksanakan dasar baru yang lebih menjimatkan
kepada pihak berkenaan bermula 1 Januari lalu.

Dasar sewaan mengikut keluasan dewan dan kadar cukai tanah tahunan adalah lebih menguntungkan para penyewa berbanding kadar penyewaan sebelum ini yang ditetapkan sebanyak RM200 setiap tahun manakala bil utiliti juga ditanggung oleh penyewa.

Menurut jurucakap MPSP, Soon Lip Chee, dasar sewaan baru tersebut adalah bagi meringankan beban para penyewa yang kebanyakan terdiri daripada masyarakat umum.

“Sehingga kini, masih terdapat banyak dewan orang ramai yang masih kosong dan terbuka untuk disewa bagi kegunaan tertentu para penduduk.

“Di daerah Seberang Perai Utara (SPU), masih terdapat 11 kekosongan, Seberang Perai Tengah (SPT), 22, manakala Seberang Perai Selatan (SPS), 7. Keutamaan akan diberikan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK), diikuti Persatuan Penduduk dan kemudiannya Rukun Tetangga,” katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, katanya, dewan orang ramai tidak boleh disalahgunakan untuk kepentingan peribadi dan agenda tertentu seperti berpolitik dan tidak boleh disewakan kepada pihak ketiga.

“Mereka yang menyewa harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap dewan berkenaan. Dewan dibina bagi memenuhi skim perumahan yang mensyaratkan setiap taman perumahan perlu mempunyai dewan orang ramai bagi kegunaan tertentu dan memudahkan penduduk,” jelasnya lagi.

Tambah Lip Chee, sesiapa yang berminat untuk menyewa dewan-dewan yang masih kosong boleh menghubungi Jabatan Kemasyarakatan MPSP di talian 04 – 549 7489 (menghantar surat atau sebarang pertanyaan). Deposit sebanyak RM100 diperlukan bagi setiap permohonan penyewaan dewan selama setahun.