“Dengan kerusi roda, ‘Mawar’ sedarkan wanita”

Admin

Teks & Gambar Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

AZIZAH Jamaluddin mesra ketika diwawancara wartawan BM di Penaga, Seberang Perai Utara (SPU) di sini baru-baru ini.
AZIZAH Jamaluddin mesra ketika diwawancara wartawan BM di Penaga, Seberang Perai Utara (SPU) di sini baru-baru ini.

NEKAD untuk meniup kesedaran kepada golongan wanita marhaen di Pulau Pinang membuatkan Azizah Jamaluddin, 61, mengaku bahawa beliau kadang-kadang terlupa mengenai kudrat sebenar dirinya.

Ke mana sahaja program anjuran Persatuan Kebajikan Wanita Mawar Pulau Pinang (Mawar) sejak ditubuhkan pada 25 Januari lepas, Azizah datang dengan kerusi roda.

Konsultansi, majlis sumbangan serta kelas pendidikan wanita menjadi di antara agenda utama Mawar di bawah Azizah yang juga setiausaha badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan.

Maka, tidak hairanlah jika penampilan buat pertama kali warga emas itu pada majls Jamuan Sempena Hari Wanita Sedunia di Penaga pada 9 Mac lepas telah mengagumkan banyak pihak, termasuk Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng.

Sejak itu, Azizah yang mesra dengan panggilan “Kak Zah” serta Mawar yang digerakkannya itu menerima perhatian serta sokongan langsung daripada Chong Eng serta Penang Women’s Development Corporation (PWDC) di bawah Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

PENYERTAAN Azizah Jamaluddin di dalam salah satu program ceramah kelompok di Penaga, SPU.
PENYERTAAN Azizah Jamaluddin di dalam salah satu program ceramah kelompok di Penaga, SPU.

“Apa yang ditentukan oleh Allah sebenarnya adalah terbaik untuk kita. Kebetulan, saya dianugerahkan seorang suami yang cukup memahami keadaan saya ini serta senantiasa memberi sokongan moral kepada saya.

“Alhamdulillah, dengan anugerah lapan cahaya mata serta kawan-kawan di sekeliling saya pun menerima saya seadanya, sampai saya berasa saya tiada ‘kekurangan’ berbanding orang lain.

“Saya bersyukur kerana pelancaran Mawar baru-baru ini turut disempurnakan oleh YB Chong Eng (Chong Eng) dan setakat ini PWDC komited membantu Mawar mendekati kaum wanita,” ujarnya ketika sesi wawancara bersama Buletin Mutiara (BM) di sini baru-baru ini.

Menceritakan mengenai keupayaan diri, Azizah berkata kakinya lemah sehingga tidak boleh berjalan kerana serangan demam panas dan mengalami sejenis penyakit yang dikenali sebagai polio. Tetapi, ketika berusia 5 tahun, beliau nekad untuk berjalan seperti anak-anak normal yang lain.

“Sejak kecil lagi, saya senantiasa mencabar diri. Saya pernah kata ‘aku nak pakai kasut tumit tinggi’ waktu berumur 5 tahun. Dari situ, saya bertatih berjalan dan boleh berjalan, tetapi tidak sempurna seperti kanak-kanak normal yang lain. Setelah menjalani fasa-fasa kehidupan dan pertambahan usia, saya terpaksa menggunakan kerusi roda seperti sekarang.

“Kata orang, pengalaman adalah guru terbaik. Sejak itu, sungguhpun saya ini OKU (orang kelainan upaya), itu tidak pernah menjadi alasan untuk saya patah semangat dan berhenti untuk memberi kesedaran sesama gender dengan saya,” ujar sambil berkata bahawa beliau telah lama menyimpan hasrat untuk menubuhkan sebuah NGO wanita.

Azizah berkata, sebelum beliau berkecimpung dalam pergerakan feminisme tersebut, beliau pernah berkhidmat dalam sektor kerajaan di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

Berkat pengalaman dalam sektor profesional di institut tersebut, ia menjadi bekalan kepada beliau dalam menggerakkan Mawar sekarang.

“Pengalaman sedikit-sedikit di Mardi banyak membantu saya untuk mendekati golongan profesional wanita bagi bersama-sama menyertai Mawar. Sekarang, Mawar disertai oleh ahli korporat, akauntan, ahli perniagaan dan beberapa tenaga profesional lain.

“Dengan semua kekuatan profesional ini, Mawar memberi tumpuan khusus pada keluarga ibu tunggal supaya anak-anak mereka dibela dan tidak cicir dalam pendidikan. Mawar akan mengadakan kelas pendidikan serta mengadakan wacana kesaksamaan gender untuk kaum wanita.

“Inisiatif Mawar ini nampaknya menerima perhatian beberapa pihak korporat. Terbaru, kita (Mawar) dipelawa membantu program CSR (tanggungjawab sosial korporat) oleh syarikat Dutch Lady. Mudah-mudahan, perbincangan ini berjaya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azizah berharap Mawar menjadi agen perubahan pendidikan wanita yang penting bagi Kerajaan Negeri sungguhpun NGO yang baru setahun jagung ini diakui menerima perlbagai cabaran.

“Cabaran? Di mana-mana tempat pun ada (cabaran). Mawar paling banyak menerima cabaran berupa persepsi dari sesetengah ahli politik di negeri (Pulau Pinang) ini. Saya tidak pernah menyalahkan mereka kerana budaya menggerakkan NGO untuk menyelami jiwa wanita di negeri ini mungkin sesuatu yang baru bagi mereka yang sudah sekian lama menjadi aktivis parti.

“Tetapi, dengan adanya peribadi seperti Tuan Haji Zolkifly Md Lazim (Mentor Mawar), Haji Johari (ahli korporat), YB Chong Eng (sebagai Penaung) dan Hajjah Aida Yusof Rawa (sebagai penasihat), beberapa tenaga profesional lain, banyak membantu dan memberi sokongan kepada saya dalam menggerakkan NGO feminis ini,’’ tambah beliau.