Datuk Bandar MBPP ketuai pasukan renang bawa obor APMG rentasi Selat Melaka ke pulau

Admin

BAGAN JERMAL – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang hari ini mengetuai pasukan renang membawa obor Asia Pacific Masters Games (APMG) bermula dari hentian rehat dan rawat (R&R) Bagan Ajam merentasi Selat Melaka sehingga ke Persiaran Gurney di George Town.

Turut menyertai pasukan itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee, perenang profesional negara, Kevin Yeap Soon Choy dan Angelia Ong Su Lin.

Sebelum itu, obor berkenaan diserahkan kepada Tung Seang oleh Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud selepas dibawa mengelilingi ke seluruh Seberang Perai sejak 31 Ogos lalu.

Menurut Rozali, larian obor kawasan Seberang Perai sejauh 100 kilometer mengambil masa selama tiga hari, melibatkan hampir 2,000 orang kakitangan MPSP, 1,000 orang peserta konvoi serta sembilan ADUN dan Exco Kerajaan Negeri.

“Pelbagai kaedah digunakan untuk membawa obor seperti larian, berbasikal, konvoi motosikal berkuasa tinggi, konvoi kereta kereta, pasukan berkuda dan menaiki bot.

“Semalam (1 September) obor ini dibawa menyusuri bukit, Sungai Perai dan lautan sehingga berakhir di Jeti Bagan Ajam untuk diserahkan kepada Datuk Bandar MBPP.

“Terima kasih kepada sembilan ADUN yang mengambil bahagian termasuk dua orang Exco Kerajaan Negeri dan semua yang terlibat,” ujarnya ketika berucap pada majlis penyerahan Obor Larian APMG 2018 kepada Datuk Bandar MBPP.

Turut hadir, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap ADUN Sungai Puyu, Phee Boon Poh.

Sementara itu, Tung Seang berkata penglibatan sembilan ADUN di bahagian Seberang Perai dalam Larian Obor APMG 2018 merupakan satu sejarah baru yang berjaya dicipta.

“Seramai 19 ADUN lagi di bahagian pulau sedang menunggu untuk membawa obor ini,” ujarnya ringkas.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NORAZIS