Program Cyclethon SMKDOB bantu kumpul dana biayai program pembangunan kecemerlangan pelajar

TELUK AIR TAWAR – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dengan kerjasama pihak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Onn, Butterworth (SMKDOB) bakal mengadakan program kayuhan ria Cyclethon 2018 pada 13 Oktober ini.

Majlis pelancaran program berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Marzuki Yahya di Dewan An- Najah, SMK Dato Onn, di sini, pagi tadi.

Yang di-Pertua PIBG SMKDOB, Jazman Shahar Abdullah memberitahu, program yang julung kalinya diadakan itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi membiayai pelbagai program pembangunan ke arah kecemerlangan pelajar.

“Dana yang kita kumpul ini adalah untuk membantu pihak sekolah melalui PIBG untuk menjalankan program kecemerlangan akademik dan kokurikulum serta menampung kos-kos bagi penglibatan pelajar yang cemerlang di dalam pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Selain itu, dana ini juga akan digunakan untuk keperluan sekolah bagi menaik taraf dan menyelenggara beberapa bahagian sekolah yang amat memerlukan.

“Syukur kerana dana yang kita peroleh untuk menjalankan program Cyclethon SMKDOB ini telah telah melebihi sasaran asal ditetapkan iaitu RM100,000 tapi yang kita dapat adalah RM300,000,” ujarnya pada sidang media sejurus selepas majlis perasmian program berkenaan pada 1 September lalu.

Turut hadir, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Mohd. Jamil Mohamed; Pengasas merangkap Pengarah Urusan Ritz Corporate Holdings, Datuk Ibrahim Yahaya; Pengetua SMKDOB, Noor Hayati Abdul Halim, para guru serta pelajar.

Mengulas lanjut, Jazman berkata, program tersebut juga turut menampilkan kelainan berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana membawa tema ‘zombi’ yang merupakan konsep pertama seumpamanya di negara ini.

“Bagi pengayuh-pengayuh tegar jarak kayuhan adalah 70 kilometer (km) dan satu lagi kayuhan sejauh 30km yang mana setiap peserta yang mahu menyertai kayuhan ini akan disolek dengan tema zombi.

“Mereka inilah yang akan mengayuh  dari sekolah melalui kampung- kampung, sawah padi, bukit-bukau dan ladang sebelum kembali semula ke sekolah.

“Selain itu, kita juga menitikberatkan penggabungan di antara sektor korporat, komuniti setempat, ibu bapa dan sekolah sebab pada pandangan PIBG penggabungan itu perlu selain daripada sudut kewangan kita juga boleh dapatkan sumber-sumber kepakaran dan sumber tenaga yang penting kepada sekolah,” katanya lagi.

Ritz Corporate Holdings menjadi penaja utama program dengan jumlah tajaan berjumlah RM300,000 selain Minda Koko Food Industries, Bernama News Chanel dan Tasek Gelugor Riderz (TGR) tampil sebagai penaja bersama.

Teks & gambar : SUNARTI YUSOFF