Datuk Bandar MBSP nasihat jangan buang haiwan kesayangan di kedai makan, pasar raya

Admin

BUKIT TAMBUN – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Dato’ Sr. Rozali Mohamud menasihati pemilik haiwan kesayangan supaya tidak sewenang-wenangnya membuang anjing atau kucing di kedai makan atau pasar raya.

Katanya, perbuatan sebegitu akan menggagalkan usaha bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan dengan Jabatan Veterinar Negeri Pulau Pinang serta Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) dalam menangani isu populasi haiwan terbiar di jalanan dan tempat-tempat awam.

“Anggaran anjing terbiar di Seberang Perai ada kira-kira 20,000.

“Walaupun kita (MBSP) telah tangkap 1,943 ekor sehingga Ogos tahun ini, beri rawatan, sediakan pusat jagaan dan proses pemandulan, tapi angka jumlah anjing terbiar akan terus meningkat, mungkin membiak antara 3,000 hingga 4,000 ekor lagi.

“Masalah anjing dan kucing terbiar ini tidak akan selesai kalau pemilik yang tidak mahu lagi haiwan kesayangan ambil jalan mudah dengan membuang haiwan mereka di kedai makan atau tempat awam.

“Jadi, sesiapa nak buang anjing atau kucing, walaupun kita (MBSP) tak galakkan, bawa ke pusat jagaan sementara di sebelah Depo MBSP dekat Taman Inderawasih, akan ada NGO (pertubuhan bukan kerajaan) beri makan, pelihara dan rawat haiwan-haiwan kesayangan ini,” jelasnya dalam Majlis Perasmian Paun Simpanan Haiwan MBSP di Taman Perusahaan Ringan Usahajaya, Permatang Tinggi di sini pada 1 Oktober 2019.

Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod; barisan Ahli Majlis bagi MBSP; Timbalan Dekan Hospital Perubatan Veterinar, Fakulti Veterinar Universiti Malaysia Kelantan (UMK), dan Pengerusi SPCA Seberang Perai, Tan Kah Chuah turut sertai acara perasmian tersebut.

Selain itu, Rozali memberitahu, MBSP komited untuk menangani isu anjing liar, demi meningkatkan tahap keselamatan dan kesejahteraan penduduk di Seberang Perai.

Berdasarkan matlamat tersebut, beliau berkata, Paun Simpanan Haiwan telah dibina di atas tapak asal Kompleks Penjaja Taman Usahajaya pada 9 April 2018 dan siap sepenuhnya pada 27 Ogos 2018, dengan kos RM414,820.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS