Delegasi New Zealand intai kerjasama dua negara

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

 

KETUA Menteri (tengah) bersama Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy (kanan sekali) berbincang sesuatu bersama Pesuruhjaya Tinggi New Zealand, David Pine (kiri sekali) sempena Lawatan Delegasi Perdagangan New Zealand ke sini baru-baru ini.
KETUA Menteri (tengah) bersama Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy (kanan sekali) berbincang sesuatu bersama Pesuruhjaya Tinggi New Zealand, David Pine (kiri sekali) sempena Lawatan Delegasi Perdagangan New Zealand ke sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Negara Kiwi, New Zealand cuba mengintai peluang kerjasama pada aspek pasaran, pelancongan dan pendidikan dengan negeri Pulau Pinang dalam tempoh masa terdekat.

Hasrat tersebut disuarakan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Glidepath Group Ltd., Sir Kenneth Stevens, dalam rangka lawatan Delegasi Perdagangan New Zealand ke Malaysia dan Brunei ke Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, matlamat delegasi yang disertai 15 wakil Pejabat Pesuruhjaya Tinggi New Zealand adalah untuk mengenali dengan lebih mendalam peluang-peluang pasaran yang ada di Malaysia.

Malah, delegasi kami juga terdiri daripada wakil-wakil suku kaum di New Zealand yang turut mencari peluang pasaran serta mempromosi budaya masing-masing”, ujar Sir Kenneth Stevens ketika lawatan rasmi ke Pejabat Ketua Menteri di sini.

Pada masa sama, Pengurus Besar Pembangunan Pendidikan dan Perkembangan Psikologi New Zealand, Chris Sullivan mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri atas layanan mesra yang diberikan, malah, beliau turut memuji keenakkan makanan di Pulau Pinang.

Sememangnya makanan di Pulau Pinang adalah yang terbaik seperti apa yang diperkatakan Ketua Menteri,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Ketua Menteri yang mengalu-alukan kehadiran delegasi tersebut ke Pulau Pinang menyatakan hasrat untuk mengadakan kerjasama yang lebih erat terutama dalam bidang pendidikan dan pelancongan.

Dalam usaha Pulau Pinang mengembangkan dan melahirkan tenaga kerja mahir dan modal insan, pendidikan dilihat sebagai medium yang sangat penting.

Oleh itu, Pulau Pinang berharap dapat berkerjasama bukan sahaja dalam bidang pendidikan, malah, usaha-usaha untuk melahirkan tenaga kerja mahir serta modal insan yang berdaya saing,” ujar Guan Eng dalam sidang media khas bersempena lawatan rasmi berkenaan.

Hadir sama, Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, David Pine; Pengerusi Tiroa E dan Te Hape B Trusts, Hardie Peni; Pengerusi Pelancongan Maori New Zealand, Glen Katu; Pengarah Urusan Kiwi Fresh (NZ) Limited, Trevor Elia; Pengarah Story Inc. Ltd., Steve La Hood dan beberapa perwakilan lain dari pelbagai latar belakang termasuk perdagangan, perindustrian, pendidikan, pertanian, media dan publisiti serta pelancongan.