Pulau Pinang jaguh pelaburan dua tahun berturut-turut

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

 GEORGE TOWN – Pulau Pinang sekali lagi menerajui takhta pelaburan dalam sektor pembuatan buat dua tahun berturut-turut.

Menurut sumber yang diperoleh dari laman sesawang Malaysian Investment Development Authority (MIDA), Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad mengumumkan bahawa Pulau Pinang telah mencatatkan jumlah pelaburan bernilai RM9.1 bilion iaitu 16% daripada keseluruhan jumlah pelaburan negara bernilai RM56.1 bilion (bagi tahun 2011) dan sekali gus mengungguli pelaburan dalam sektor pembuatan buat tahun kedua berturut-turut.

Tahniah kepada 1.6 juta rakyat Pulau Pinang yang berhak mendapat penghargaan atas pencapaian yang bersejarah ini”.

Ini merupakan satu pencapaian yang menakjubkan dan luar biasa bagi negeri kedua terkecil di Malaysia yang tidak mempunyai mana-mana sumber asli,” ujar Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng dalam kenyataan medianya sebagai maklum balas berhubung pengumuman tersebut di sini baru-baru ini.

Jumlah pelaburan tersebut katanya adalah melepasi sasaran awal iaitu RM6.1 bilion.

Malah, jumlah pelaburan asing secara langsung (Foreign Direct Investments – FDIs) yang dicatatkan Pulau Pinang sebanyak RM7.1 bilion iaitu 78% jumlah FDIs Malaysia juga merupakan jumlah tertinggi dicatatkan berbanding negeri-negeri lain dalam negara. Hal ini sekaligus membuktikan Pulau Pinang menjadi destinasi pilihan para pelabur asing,” jelasnya lagi.

Guan Eng memberitahu, Jepun (46%), Amerika Syarikat (23%), Belanda (13%), Kanada (6%) dan Singapura (4%) adalah antara negara penyumbang FDIs tertinggi di Malaysia.

Mengikut pembahagian industri, industri elektrik dan elektronik menyumbang 80% jumlah pelaburan, manakala industri berasaskan semikonduktor dan industri kelengkapan pengangkutan masing-masing menyumbang 8% dan 6% hasil pelaburan negara,” kata beliau.

Dalam pada itu, beliau turut merujuk laporan MIDA bahawa Pulau Pinang berada di belakang Sarawak bagi jumlah pelaburan diluluskan oleh negeri pada 2011 iaitu RM14.038 bilion berbanding Sarawak RM14.351 yang menerima rangsangan daripada pengeluaran minyak dan gas.

Walaupun tidak mempunyai pelaburan dalam sektor utama, Pulau Pinang hanya kehilangan RM300 juta kepada Sarawak,” ujar beliau yang berharap bahawa perkembangan perkhidmatan lebih 50% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan berlaku di Pulau Pinang menjelang 2020.