Bahulu asli tanpa pengawet Mak Tam dijual segar setiap hari

Admin

Oleh: YAP LEE YING
Gambar: LAW SUUN TING

SELAIN bahulu, antara produk-produk jualan lain adalah kerepek potong, kuih tradisional dan lain-lain.
SELAIN bahulu, antara produk-produk jualan lain adalah kerepek potong, kuih tradisional dan lain-lain.

MESRA pelanggan, jangan sombong dan sokongan penuh daripada ibu merupakan rahsia perniagaan pengusaha Bahulu Mak Tam yang terletak di belakang Sekolah Kebangsaan Sungai Korok, Jalan Bharu, Balik Pulau.

Sinonim dengan perwatakan pengusahanya, Wadi Ana Md. Husin, 45, atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ana, adalah seorang yang murah dengan senyuman. Malah, sifat mesranya itu amat disenangi para pelanggan yang datang dari dalam dan juga luar negara.

“Jangan sombong, kalau sombong, pelanggan lari dan tak mai dah,’’ jawab Kak Ana sambil tersenyum apabila ditemui Buletin Mutiara (BM) di kediamannya yang juga kilang memproses bahulunya di sini baru-baru ini.

RUPA bentuk bahulu Mak Tam.
RUPA bentuk bahulu Mak Tam.

Bercerita mengenai pengalaman kerjanya selama 39 tahun di dalam sektor perkilangan, Kak Ana menyatakan bahawa nekad yang diambil bagi menceburi bidang perniagaan kecil-kecilan adalah lebih ‘menguntungkan’.

“Selain dapat jana pendapatan yang lebih lumayan, saya juga mempunyai masa bekerja sendiri dan apa yang lebih penting adalah masa yang lebih bersama keluarga terutamanya anak-anak,’’ ujarnya.

Setiap hari, Kak Ana meluangkan kira-kira tiga jam bermula pada pukul 8 pagi untuk menyediakan 700 biji bahulu segar.

Apabila bahulu siap dibakar, beliau kemudian menghantar bekalan tersebut ke kedai-kedai  yang menjadi pelanggan tetapnya. Malah, sekiranya perlu, beliau juga akan menghantar sendiri tempahan-tempahan para pelanggan.

ACUAN yang digunakan untuk membuat bahulu Mak Tam.
ACUAN yang digunakan untuk membuat bahulu
Mak Tam.

Umumnya, pasaran utama Bahulu Mak Tam bertemakan ‘Rasa Asli, Pilihan Hati’ adalah di Balik Pulau sendiri. Dalam pada itu, terdapat juga permintaan daripada pelangganpelanggan luar dari Kuala Lumpur dan Singapura.

Apabila ditanya mengenai pembantunya, Kak Ana hanya tersenyum sinis. Beliau kemudian menyatakan bahawa individu penting yang menjayakan pembuatan bahulunya adalah suaminya yang dipertanggungjawabkan dalam proses pembakaran.

“Eleman terpenting dalam pembuatan bahulu adalah teknik membakar yang mana amat dimahiri suami. Proses keseluruhan pembakaran adalah selama 10 minit. Namun, sekiranya tidak mahir, warna bahulu akan menjadi tidak sekata dan tidak cantik apabila ia masak,’’ ujar Kak Ana sambil menjelaskan bahawa suaminya bekerja sebagai seorang operator di Bayan Baru.

Selepas dimasak, bagi mengekalkan tona warna bahulu, ia perlu diletakkan di dalam kotak. Sekiranya bahulu didedahkan pada suhu luar, warnanya akan luntur. Dalam pada itu, bahulu yang siap dibakar boleh
disimpan dalam tempoh dua minggu.

WADI Ana Md. Husin memasukkan sukatan gula untuk membuat adunan bahulu.
WADI Ana Md. Husin memasukkan sukatan gula untuk membuat adunan bahulu.

Namun, bagi pengekalan rasanya, ia seelok-eloknya dimakan dalam tempoh lima hari.

“Apa yang istimewa adalah bahulu turun temurun keluarga ini adalah diwarisi daripada mak. Memang tiada bahan pengawet dicampur di dalam adunannya. Bahan asas yang digunakan adalah telur, gula dan tepung sahaja,’’ jelasnya sambil menyatakan bahawa harga jualan sebiji bahulu adalah 18 sen – RM10 (bersaiz besar, khususnya untuk tempahan majlis kenduri kahwin).

Bagi Kak Ana, adalah menjadi harapannya untuk memperoleh persijilan halal dan bantuan daripada agensi kerajaan bagi mengembangkan lagi perniagaannya di masa akan datang. Dalam mencapai langkah tersebut, beliau kini dalam proses mengasingkan kilang membuat bahulu daripada kediamannya yang mana ia merupakan langkah pertama dan salah satu syarat wajib yang diperuntukan.

Selain bahulu, produk-produk jualan lain adalah kerepek potong, pakoda, kuih tradisional, biskut, tempeyek dan jeli kering. Bagi sebarang tempahan, hubungi Kak Ana di talian 012 – 468 0984 atau melalui pesanan khidmat ringkas (SMS).