Denggi, segera jumpa doktor jika demam

Enam kes kematian direkodkan dalam tempoh 30 hari pertama tahun ini

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

BERAPIT – Dalam tempoh 30 hari pertama pada tahun ini, enam kes kematian akibat denggi direkodkan di negeri ini, berbanding hanya dua kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Antara kes yang direkodkan termasuk membabitkan pelajar, Muhamad Yusof Ismail, 13, meninggal dunia pada 7 Januari lalu, selepas menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) sehari sebelumnya.

Manakala, Lim Yin Xuang, 28, meninggal dunia pada 18 Januari lalu. Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng meminta semua pihak meningkatkan langkah waspada, termasuk segera mendapatkan rawatan susulan apabila demam.

“Tahun lepas (2015), ada 19 kematian akibat denggi, manakala tahun 2014 ada 12 (kes), tetapi dalam 30 hari pertama tahun ini sudah ada enam rekod kematian akibat gigitan nyamuk Aedes.

“Janganlah lebih ramai mati akibat denggi, jaga kebersihan dan hapuskan kawasan pembiakan nyamuk Aedes serta segera jumpa doktor apabila demam.

“Mungkin sayalah seorang Ketua Menteri yang masih melawat keluarga mangsa, tetapi yang lebih penting adalah semua perlu waspada dan sedar akan bahaya wabak ini,” katanya semasa menziarahi keluarga mendiang Yin Xuan di Kampung Berapit di sini baru-baru ini.

Difahamkan, kes terbaru tersebut sebenarnya berlaku di rumah mendiang dekat Machang Bubuk.

Sambil merakamkan takziah daripada Kerajaan Negeri, Guan Eng turut menyampaikan sumbangan RM500 kepada ayah mendiang.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan Chong Eng (Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) turut sertai majlis ziarah itu.

Hadir sama, Pegawai Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Dr. Rafidah Md. Noor dan Pegawai Kawalan Penyakit Pusat Kesihatan Daerah, Dr. Mohd. Azfar Zainuddin.

Dalam perkembangan berasingan, Guan Eng dan Afif turut melawat keluarga arwah Muhamad Yusof, sebelum itu.

Dalam lawatan berkenaan, ayah mangsa, Ismail Samsuddin, 50, memberitahu bahawa anaknya aktif serta langsung tidak menunjukkan tanda-tanda suspek denggi.

Selepas dikejarkan ke HPP, Muhamad Yusof yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Westland menunjukkan tandatanda luar biasa, hingga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Dia (Muhamad Yusof) sangat aktif walaupun demam, dia sama sekali tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda (denggi).

“Dia masih berselera makan semasa kami sekeluarga pergi melawat,” katanya di kediamannya dekat Jalan Kampung Jawa, George Town.

Dalam reaksi spontan kepada wartawan yang hadir, Afif menggesa semua pihak menggandakan usaha pencegahan wabak tersebut, termasuk memastikan kawasan rumah masing-masing tidak menjadi kawasan pembiakan nyamuk Aedes.

“Saya meminta orang ramai supaya lebih proaktif dalam mencegah kes-kes denggi, dengan mengambil beberapa langkahlangkah pencegahan yang mudah (seperti) pastikan tiada lopak air untuk mana-mana tempat pembiakan yang berpotensi.

“Dinasihatkan menggunakan pengewap, ubat nyamuk atau semburan racun serangga di dalam rumah dalam tempoh masa 6 petang hingga 8 malam dan 6 pagi hingga 8 pagi, kerana ini adalah masa nyamuk paling aktif, selain menggunakan penghalau nyamuk, jika anda cenderung untuk berada di luar rumah banyak,” ujarnya.

Susulan itu, Afif dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Daerah telah membuat tinjauan di kawasan-kawasan dikenalpasti sebagai lokasi wabak, termasuk di kawasan rumah teres dan flat Taman Seri Janggus dekat Machang Bubuk.

Rafidah, Mohd. Azfar serta kakitangan Jabatan Perbandaran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) turut sertai lawatan itu.

Rafidah mendedahkan, Machang Bubuk merupakan kawasan yang mempunyai kes tertinggi di SPT dalam tempoh 18 hari pertama pada tahun ini (18 Januari 2016), dengan 14 kes denggi direkodkan di flat tersebut dan 13 kes lain di kawasan rumah teres di sini.

“Sekarang (wabak) masih lagi terkawal, tetapi kes paling banyak di SPT.

“Memang kita mengharapkan tiada lagi kes baru, jika ada kes baru, akan jadi wabak tak terkawal,” jelas beliau.

Selepas itu, Afif turut mengadakan tinjauan lokasi wabak di Taman Desa Murni dekat Sungai Dua serta mengadakan perbincangan lanjut dengan ADUN setempat, Muhamad Yusoff Mohd. Noor.