Diharapkan pengundi Padang Kota terus menaruh kepercayaan kepada saya – Kon Yeow

GEORGE TOWN – Setelah tiga penggal berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota, Ketua Menteri ‘Caretaker’ Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap mandat rakyat di kawasan terbabit akan terus berpihak kepadanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 bertarikh 12 Ogos ini.

 


Menurut beliau, selama tiga penggal ini, pelbagai perubahan telah dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota yang meliputi kawasan teras dan zon penampan bagi Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

 

 

“Dalam pada itu, (DUN) Padang Kota telah menyaksikan banyak perubahan dari segi pemindahan penduduk yang mana sejak pemansuhan Akta Kawalan Sewa, sebahagian penduduk telah berpindah ke kawasan luar kerana akta tersebut telah menyebabkan kenaikan sewa di luar kemampuan para penyewa.

 

 

“Namun begitu, selepas 15 tahun, kawasan ini yang menjadi  teras dan kawasan penampan bagi Tapak Warisan Dunia UNESCO (George Town) adalah agak istimewa daripada segi pengurusan, pemuliharaan dan penjagaan mengikut ‘Special Area Plan Guideline’, dan apa yang boleh kita banggakan adalah kebanyakan rumah usang telah dibaik pulih oleh pemilik-pemilik.

 

 

“Di samping itu, George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) juga telah melaksanakan program bantuan tabung pemuliharaan supaya persatuan-persatuan yang mempunyai bangunan di sini dapat memohon dana bagi membaiki rumah-rumah  dengan syarat penyewa sedia ada perlu dikekalkan,” ujarnya pada sesi ‘walkabout’ di sekitar Lebuh Chulia dan kawasan sekitar dekat sini petang tadi.

 

Turut hadir, mantan ADUN Komtar, Teh Lai Heng; mantan Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

 

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa pada minggu lalu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut menyalurkan dana RM25 juta untuk pemuliharaan aset-aset warisan dan pelaksanaan program-program di tapak warisan yang mana sebahagian daripadanya akan memanfaatkan DUN Padang Kota.

 

 

“Atas usaha Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) juga, kita turut menyaksikan kemudahan-kemudahan dapat dinaik taraf seperti laluan pejalan kaki, longkang dan banyak lagi dapat dilaksanakan.

 

 

“(Dan) yang pentingnya, kawasan ini menjadi tumpuan para pelancong sambil menyaksikan peralihan budaya baharu dengan percambahan premis f&b (makanan dan minuman) yang berjaya menarik generasi muda.

 

 

“Jadi, saya berharap para pengundi Padang Kota masih menaruh kepercayaan kepada saya untuk terus mewakli DUN Padang Kota.

 

 

“Sekiranya ia dapat dilakukan, kejayaan tersebut akan memberi kelayakan untuk saya menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri untuk satu penggal lagi,” serunya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.

 

 

Kita Penang! Kita Boleh!