Dikelilingi laut, Pulau Pinang lokasi terbaik promosi sukan perahu layar

Admin

KEDUDUKAN strategik negeri Pulau Pinang yang dikelilingi oleh laut merupakan lokasi terbaik untuk mempromosi serta mengembangkan sukan perahu layar.

Malah dengan kedudukan geografi yang strategik, Pulau Pinang acap kali dipilih sebagai lokasi penganjuran sukan perahu layar di dalam negara, sekali gus menjadi negeri tarikan buat para pelayar dari seluruh dunia untuk datang ke sini.

Difahamkan sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia, Pulau Pinang telah menjadi tuan rumah kepada 12 pertandingan perahu layar pelbagai peringkat.

Pengerusi Persatuan Perahu Layar Negeri Pulau Pinang (PESA), MALIK FAISAL ABDUL RAHIM berkata, pelbagai perancangan dan kejohanan telah dirancang bagi memartabat serta merancakkan sukan perahu layar sepanjang tahun 2020, namun semuanya hanya tinggal kenangan apabila seluruh dunia diancam wabak COVID-19.

Namun, itu tidak mematahkan semangat beliau dan pasukannya untuk terus menaikkan nama sukan perahu layar di negeri ini.

“Saya bersyukur sebelum pandemik melanda dunia, kami (PESA) sempat bekerja keras selama lebih kurang enam bulan melakukan perancangan rapi, merangka semula hala tuju dan pembangunan sukan serta persatuan di masa hadapan.

“Ketika diberikan amanah memegang tampuk Pengerusi persatuan pada ketika itu (Jun 2019), atlet sukan perahu layar yang berusia di antara tujuh hingga 19 tahun hanya ada 22 atlet.

“Namun, hasil pelbagai promosi dan kempen yang dijalankan di sekolah-sekolah selama tempoh tersebut (enam bulan), kini kami mempunyai 52 orang atlet untuk dilatih dan dibentuk secara intensif menjadi atlet profesional negeri.

“Jika diikutkan tahun lalu (2020) banyak program telah dirancang termasuklah Kejohanan Piala Tuan Yang Terutama (TYT) buat julung kalinya, tetapi ia tidak berjaya dilangsungkan seperti yang dirancang pada 18 Mac 2020, memandangkan seluruh Malaysia telah diisytiharkan berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh bermula 16 Mac 2020,” kongsi beliau dalam nada sedikit kecewa.

Bercerita lanjut, Malik Faisal memberitahu bahawa Pulau Pinang telah dipilih menjadi tuan rumah untuk Kejohanan Pelayaran Majlis Sukan Sekolah Malaysia Pulau Pinang 2019 anjuran Bahagian Sukan dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Kebanyakan kejohanan yang berlangsung di negeri ini sememangnya mendapat sambutan amat menggalakkan, dan kejohanan tersebut disertai 16 buah kontingen dari seluruh Malaysia yang mengambil bahagian.

“Malah, tahun ini juga Pulau Pinang telah dipilih sekali lagi untuk menjadi tuan rumah kejohanan yang sama pada Oktober ini, tetapi memandangkan pandemik ini masih berlanjutan kemungkinan konsep kejohanan akan ditukar menjadi e-sailing iaitu secara elektronik.

“Jika ia dilaksanakan secara elektronik maka orang awam terutamanya para gamers juga boleh turut serta, konsepnya masih sama dinilai berasaskan pematuhan, kemahiran mengawal layar dan juga bagaimana peserta bijak membaca arah angin.

“Tetapi di pihak persatuan kami masih beranggapan bahawa kejohanan secara fizikal adalah lebih baik… kerana apabila atlet dari negeri atau negara lain datang ke sini sekali gus membolehkan atlet-atlet kita (Pulau Pinang) mendapat pendedahan dan pengalaman beraksi dengan mereka.

“Antara yang pernah datang ke Pulau Pinang antaranya Lee Lai-Shan (atlet luncur angin) dari Hong Kong yang memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik Atlanta 1996 dan atlet-atlet dari Singapura, Australia, Taiwan dan lain-lain,” ujarnya lagi.

Pembangunan sukan perahu layar

Berdasarkan visi, misi dan objektif PESA yang telah ditambah baik, Malik Faisal memberitahu bahawa terdapat tujuh dasar pembangunan sukan pelayaran Pulau Pinang dirangka iaitu:

# Pemerkasaan pengurusan organisasi dan kejurulatihan
# Program Talent ID bagi mencungkil bakat baru dalam sukan pelayaran
# Penambahbaikan dan baik taraf konsep latihan dan peralatan sukan
# Mewujudkan kerjasama dan sokongan dari pihak jabatan kerajaan dan swasta
# Penyertaan kejohanan-kejohanan bertaraf tinggi untuk memberikan pendedahan kepada atlet dan promosi sukan pelayaran
# Mewujudkan Akademi/Pusat Pelayaran Persatuan untuk menjadi tapak perancangan aktiviti.

Ulasnya, bagi Program Talent ID, PESA juga telah mengenal pasti tujuh sumber yang boleh menyumbangkan kepada pemerkasaan perancangan berkenaan yang dapat dicungkil melalui bakat-bakat di sekolah, kelab dan persatuan tempatan, persatuan belia, Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Daerah, LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia) dan unit-unit nelayan, rumah-rumah kebajikan dan anak yatim serta cadangan mewujudkan kelab pelayaran di peringkat sekolah.

“Setakat ini beberapa peringkat perancangan telah diadakan antaranya mewujudkan Pusat Sukan Pelayaran Daerah Barat Daya dengan menjadikan Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Bahang sebagai asrama penempatan atlet-atlet pelayaran yang akan mengikuti latihan di Pusat Kegiatan Sukan Air Tanjung Bungah.

“PESA juga telah telah mengenal pasti empat lokasi untuk dijadikan sebagai Pusat Aktiviti Kanak-kanak Daerah, dimana lazimnya kanak-kanak yang datang ke sini hanya akan bermain indoor game seperti karom, ping pong dan sebagainya.

“Justeru, kita telah mengadakan perbincangan dengan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah untuk menyediakan pengangkutan bagi membawa kanak-kanak yang berminat ke pusat latihan untuk mengikuti kelas pelayaran di Tanjung Bungah mahupun Bagan Ajam.

“Namun, semua perancangan ini tergendala dek pandemik sekarang ini,” ujarnya yang tidak lokek berkongsi inisiatif persatuan berkenaan dengan kami.

Turut menyertai sesi wawancara tersebut ialah Timbalan Pengerusi PESA, Mohamed Zaidi Othman dan Mohd. Rozi Tajuddin (Setiausaha PESA).

Penambahbaikan kejurulatihan dan peralatan sukan

Jika disebut sukan pelayaran, umum beranggapan bahawa sukan ini memerlukan kos yang tinggi, tetapi tanggapan ini ternyata meleset kerana untuk menjadi seorang atlet sukan layar, apa yang diperlukan hanya semangat, pengorbanan dan minat.

Menurut Malik Faisal, tidak seperti sukan fizikal lain yang memerlukan kos yang tinggi termasuk kelengkapan pakaian, kasut dan sebagainya.

“Jika taekwando atau sukan bola sepak, atlet perlu melabur untuk membeli pakaian, kasut dan kelengkapan lain, tetapi untuk sukan layar mereka hanya perlu datang berlatih sahaja, peralatan seperti bot dan sebagainya kami sediakan.

“Malah, yuran RM50 setahun yang dikenakan pun adalah bertujuan untuk menyediakan makan minum atlet setiap hari ketika berlatih,” ujarnya.

Difahamkan bahawa sejak Jun 2019 sehingga kini, Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) telah memberikan peruntukan kira-kira RM90,000 kepada PESA untuk pembangunan sukan berkenaan termasuk penganjuran kejohanan.

“Alhamdulillah kita mendapat sokongan padu daripada MSNPP, Exco Belia dan Sukan (Soon Lip Chee) dan Kerajaan Negeri sendiri. Malah kita juga mempunyai sponsor daripada pihak swasta seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Penang Port (Sdn. Bhd.).

“Exco juga telah mencadangkan untuk memindahkan pusat latihan perahu layar di Bagan Ajam ke Lingkaran Luar Butterworth, di mana kini kita hanya menunggu Jabatan Laut Pulau Pinang untuk menggazetkan kawasan pantai tersebut sebagai kawasan latihan pelayaran,” tambah beliau.

Difahamkan PESA mempunyai aset yang terdiri daripada 26 bot jenis Optimist, Laser (5), International 420, Bic Techno (5) dan RS One (2). Manakala, terdapat 3 jurulatih sepenuh masa dan dua jurulatih tambahan masih di peringkat perancangan disediakan untuk latihan intensif para atlet.

Pembangunan masa depan atlet

Ditanya berhubung masa hadapan atlet sukan perahu layar, Malik Faisal memberitahu bahawa pada hemahnya atlet sukan pelayaran mempunyai masa depan cerah, malah berpeluang mengelilingi dunia.

“Kami di sini bukan sahaja untuk ‘menjaga’ atlet sepanjang mereka berada di bawah PESA, tetapi kita akan monitor mereka hingga memasuki alam kerjaya sebab mereka-mereka ini berjasa kepada persatuan.

“Jika ditanya peluang masa depan, saya rasa ia cukup cerah malah berpeluang menjana pendapatan lumayan dan mengelilingi dunia, Dengan kemahiran yang ada untuk mengemudi bot, mereka dapat belayar ke seluruh dunia malah boleh menjana pendapatan dengan mengemudi kapal-kapal mewah persendirian.

“Kita juga tidak berpeluk tubuh sahaja, terbaharu pada 6 Mei 2021, PESA telah memeterai Memorandum Persefaham (MoU) dengan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis, Kampus Arau.

“Kerjasama ini bukan sahaja untuk saling bertukar pendapat, kemahiran pengurusan dan pembangunan sukan, tetapi daripada segi bio-mekanik, fisiologi, sosiologi serta pencegahan kecederaan termasuk konsultasi nutrisi dan diet.

“Malah, kita juga telah bersetuju supaya pelajar fakulti berkenaan yang berminat untuk melaksanakan latihan industri dengan PESA, dan atlet-atlet PESA juga selepas 17 tahun mempunyai peluang yang besar untuk terus diterima melanjutkan pelajaran di fakulti yang sama,” maklum beliau.

Atlet dan kejohanan

PESA juga telah berjaya melahirkan nama-nama besar dalam arena sukan pelayaran di Malaysia antaranya Israr Hazim Ismail; Nurul Shazwanie Mohd. Saad; Ahmad Hakimi Ahmad Shukri atau Razman Mat Ali serta Katherine Ong Xin Yean.

“Malah, kini kita mempunyai senarai nama 12 atlet yang bakal disenarai pendek dan dimuktamadkan untuk menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) yang bakal datang.

“Jika dilihat, tiada atlet negeri ke Olimpik Tokyo kali ini, tapi anak watan Teluk Kumbar, Israr Hazim dilihat mampu menjadi bakal pelapis bagi menggantikan Khairul Nizam Mohd. Affendy kelak,” ulasnya.

Bagi yang berminat menyertai menjadi atlet sukan ini sila hubungi Mohamad Zaidi di talian 012- 558 7212 atau Mohd. Rozi (017-499 0078).

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & PESA