Diskaun pendaftaran, pengusaha taska dan pusat jagaan diseru daftar segera

GEORGE TOWN – Para pengusaha taska dan pusat jagaan di negeri ini yang masih tidak bertindak mendaftarkan pusat-pusat jagaan masing-masing sebelum 15 September 2017 berpeluang menikmati diskaun sebanyak 90 peratus apabila membuat pendaftaran di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng berkata, pemberian diskaun tersebut adalah bagi tempoh setahun bermula 15 September 2017 sehingga 14 September 2018.

“Tetapi, bagi taska dan pusat jagaan baru memulakan operasi mulai 16 September 2017, mereka perlu mematuhi garis panduan sedia ada.

“Pemberian diskaun 90 peratus ini hanyalah bagi permohonan yang belum menjelaskan bayaran pemajuan infrastruktur, manakala bagi permohonan yang telah menjelaskan bayaran (pemajuan infrastruktur) tiada pengembalian wang akan dilakukan,” ujarnya pada Majlis Perasmian Penutup Program Jom Daftar Taska dan Pusat Jagaan Siri I (Bahagian Pulau) di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan JKM Pulau Pinang, Haslinda Abd. Samad dan wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba).

Berdasarkan statistik JKM Pulau Pinang, terdapat 93 pusat jagaan berdaftar, dan pusat jagaan tidak berdaftar (88), manakala bagi taska, sebanyak 142 taska adalah berdaftar dan tidak berdaftar (21).

Menurut Chong Eng, Kerajaan Negeri dengan kerjasama JKM Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengambil beberapa langkah bagi membantu para pengusaha taska serta pusat jagaan supaya berdaftar secara sah dengan JKM.

“Sebuah pasukan petugas telah ditubuhkan untuk menganalisis dan mengatasi masalah pendaftaran taska serta pusat jagaan ini.

“Hasil analisis mendapati bahawa kos tukar guna bangunan yang amat tinggi merupakan antara masalah utama terutamanya kepada pengusaha berasaskan amal.

“Justeru, diharap dengan kelonggaran dan keistimewaan ini, semua pengusaha mendaftarkan perniagaan mereka dan mendapatkan kelulusan daripada pihak berwajib demi kepentingan, keselamatan serta kebajikan mereka yang menerima perkhidmatan di pusat-pusat ini,” seru beliau.