Pinang Fiesta 2017: Budaya Pinang, bantu jana peluang ekonomi belia

SEBERANG JAYA – Dalam membantu golongan belia menjana peluang ekonomi, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) menganjurkan Pinang Fiesta bertemakan Budaya Pinang 2017.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang hadir merasmikan Majlis Penutupan Pinang Fiesta (Seberang Perai) menyatakan bahawa Kerajaan Negeri memperuntukkan RM110,000 dalam menjayakan penganjuran berkaitan.

“Melihat kepada sambutan hangat Pinang Fiesta 2017 yang pertama kali dianjurkan pada 31 Ogos lalu di Upper Penang Road berasaskan konsep baru, maka Pinang Fiesta 2017: Budaya Pinang kali ini memperlihatkan keunikan budaya serta citarasa tradisional dalam bidang keusahawanan belia di Pulau Pinang.

“Kali ini, kita boleh menikmati jualan makanan-makanan tradisional yang telah diusahakan oleh golongan belia, dan saya yakin ini mampu mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak kita,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih pada majlis berkaitan.

Hadir sama, ADUN Jawi, Soon Lip Chee; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; Pengarah Jabatan Korporat dan Perhubungan Antarabangsa bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Wan Junaidi Yahaya dan Ketua Pegawai Eksekutif PYDC, Teng Kok Liang.

Guan Eng ketika berucap menyatakan bahawa sokongan kepada belia dalam bidang keusahawanan mampu direalisasikan Kerajaan Negeri berikutan pentadbiran yang Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT).

Pinang Fiesta 2017: Budaya Pinang yang berlangsung selama dua hari pada 18 dan 19 November lalu adalah membabitkan penyertaan kira-kira 30 gerai jualan anak-anak muda tempatan.

Antaranya, Gendang 24 Musim, persembahan kompang, tarian kebudayaan dan Mridangam India.

Menyerikan majlis, penampilan istimewa Yeap Wai Kin, iaitu pemenang dua pingat Emas Sukan Wushu pada Sukan Sea 2017 lalu.