Tiga parkir bas khas sempena musim cuti hujung tahun – Exco

Oleh : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

GEORGE TOWN – Sempena musim cuti sekolah dan perayaan hujung tahun, tiga kawasan parkir khas disediakan untuk bas-bas persiaran yang membawa pelancong ke negeri ini.

Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang memberitahu, langkah tersebut berkesan apabila kira-kira 10,000 pelancong dari China datang ke Pulau Pinang pada 1 hingga 5 Disember lalu.

“Tiga lokasi parkir untuk menempatkan bas-bas persiaran telah dipilih bagi keselesaan pemandu dan pengguna jalan raya yang lain.

“Dua tempat parkir percuma terpilih adalah di kawasan tempat letak kereta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Tanjung Tokong dan Persiaran Karpal Singh, Bandar Sri Pinang, manakala satu kawasan parkir berbayar adalah di Jalan Sultan Ahmad Shah,” katanya pada sidang media di sini 30 November lalu.

Heng Kiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang menyatakan bahawa kawasan parkir khas yang disediakan itu mampu memuatkan 15 hingga 20 bas persiaran pada satu-satu masa.

“Para pemandu bas dinasihatkan supaya tidak parkir kenderaan di hadapan hotel atau bahu jalan, sehingga mengganggu trafik dan pengguna jalan raya lain,” serunya.