PKMPP sokong cadangan empat projek infra

Admin

Oleh: ZULIANA AZIZ

IZHAM Omar Merican (tiga dari kanan) menyerahkan kenyataan beliau kepada Ketua Menteri yang menyatakan sokongan kepada Kerajaan Negeri berhubung cadangan pembinaan empat projek infrastruktur yang dicadangkan di sini sebelum ini.
IZHAM Omar Merican (tiga dari kanan)  menyerahkan kenyataan beliau kepada Ketua Menteri yang menyatakan sokongan kepada  Kerajaan Negeri berhubung cadangan pembinaan empat projek infrastruktur yang dicadangkan di sini sebelum ini.

GEORGE TOWN – Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Pulau Pinang (PKMPP) menyatakan sokongan mereka terhadap hasrat Kerajaan Negeri untuk membina empat projek infrastruktur yang dicadangkan di sini sebelum ini.

Projek-projek infrastruktur berkenaan adalah terowong bawah laut (6.5 km dari Persiaran Gurney ke Bagan Ajam, berdekatan dengan Butterworth); jalan menghubungkan Tanjung Bungah dengan Teluk Bahang (15 km); jalan pintas dari Persiaran Gurney ke Lebuhraya Tun Dr.Lim Chong Eu (5 km) dan jalan pintas dari Bandar Baru Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu (5 km).

Menurut Timbalan Yang DiPertua PKMPP, Datuk Izham Omar Merican, pihaknya sangat mengalu-alukan projek-projek tersebut kerana ia bertujuan untuk mengurangkan masalah kesesakan lalulintas di Pulau Pinang serta akan memacu pembangunan ekonomi negeri, terutamanya di Seberang Perai Utara (SPU).

“Projek-projek yang dicadangkan akan membawa faedah kepada semua rakyat SPU termasuk masyarakat Melayu yang merupakan majoriti penduduk di SPU. Justeru, terowong bawah laut yang menghubungkan Bagan Ajam dengan Persiaran Gurney akan menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi yang kritikal.

“Terowong bawah laut ini sekaligus bakal memastikan bahawa orang Melayu di SPU dapat menikmati
pembangunan yang setara dengan kawasan-kawasan lain di Pulau Pinang.

Tambahan pula, kami yakin bahawa projek-projek ini, khususnya terowong bawah laut tidak akan mendatangkan apa-apa kesan yang mudarat kepada para penghuni kawasan-kawasan terbabit. Malah, kami rasa ia akan membawa kemajuan kepada mereka,’’ katanya pada majlis sidang akhbar di Komtar di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, pihaknya juga bersetuju dan yakin dengan janji Kerajaan Negeri bahawa semua prosedur dan peraturan yang berkenaan akan dituruti, seperti proses rundingan umum untuk rekabentuk, pemilihan laluan dan juga kajian kesan alam sekitar.

“Semua proses ini hendaklah dipersetujui terlebih dahulu sebelum kelangsungan projek-projek tersebut.

Sekiranya terdapat masalah yang tampil semasa proses tersebut, dan jika projek-projek tersebut didapati kurang sesuai, maka ia tidak akan dilaksanakan,” ujarnya.