Durian Balik Pulau di pusat bandar

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Para penggemar durian Balik Pulau kini tidak perlu berkunjung jauh apabila ‘Raja Buah’ tersebut dibawa khas ke sini untuk dijamu semua.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota, Chow Kon Yeow berkata, demi menjayakan inisiatif tersebut, pihaknya membantu pekebunpekebun kecil di Balik Pulau membuat permohonan lesen menjaja sementara bagi membolehkan mereka menjual hasil tani di sini.

“Melalui permohonan kepada pihak Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), pekebun-pekebun kecil boleh mempromosikan hasil tani masing-masing di gerai-gerai sementara yang dibenarkan Majlis (MPPP).

“Jika dahulu kalau nak makan durian perlu ke Anjung Indah, Balik Pulau, kini, kita bawakan durian Balik Pulau ke sini.

“Bukan sahaja durian, malah buah-buahan tempatan seperti manggis dan rambutan juga boleh dibeli di sini,” katanya pada majlis pelancarannya di sini baru-baru ini.

Turut hadir, ADUN Komtar, Teh Lai Heng.

Terletak bertentangan Hotel Tune, Jalan Burma, gerai-gerai dibuka pada jam 11 pagi hingga 9 malam setiap hari.

Antara jenis durian yang dijual adalah ‘Ang Hae’, ‘Ho Lor’, ‘Musang King’, ‘Cheh Phoay Kia’, ‘Gan Ja’, 24 dan D2 pada harga yang berpatutan. ‘Pesta’ tersebut bermula pada 20 Mei lalu dan bakal berlanjutan sehingga pertengahan bulan Julai, bergantung kepada hasil durian.

Dalam pada itu, Lai Heng memberitahu bahawa inisiatif tersebut adalah anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Jalan Kedah dan Jalan Transfer.

“Terdapat kira-kira 10 gerai menjual durian sekitar bandar George Town.

“Inisiatif ini adalah ekoran sambutan memberangsangkan sejak penganjurannya empat tahun lalu.

“Justeru, saya berhasrat untuk menjadikan pesta tersebut sebagai acara tahunan di sini,’’ jelas beliau.