Kaunter bergerak bantu pendaftaran secara telus

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

AIR ITAM – Kaunter pendaftaran yang dibuka setiap minggu di pasar-pasar malam sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Itam merupakan formula kejayaan kawasan tersebut mencatatkan penerima (pendaftaran) tertinggi pelajar emas bagi tempoh tiga tahun berturutturut.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Wong Hon Wai, pembukaan kaunter bergerak tersebut membolehkan ibu bapa dan para pelajar mendaftarkan diri secara terus.

“Pembukaan kaunter bergerak setiap minggu di setiap pasar malam sekitar sini (Air Itam) memberikan impak positif apabila ibu bapa atau para pelajar dapat mendaftarkan diri secara terus.

“Selain itu, kita juga gunakan pendekatan masuk ke sekolah-sekolah dan bekerjasama dengan persatuan ibu bapa dan guru,” ujarnya ketika mengadakan tinjuan Penyerahan Sumbangan Pelajar Emas di salah sebuah bank di sini baru-baru ini.

Skim Pelajar Emas hasil inisiatif Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat adalah sumbangan khas kepada pelajar Tahun Satu, Tahun Empat, Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat secara one-off setiap tahun.

Bagi Fasa Pertama, seramai 37,000 pelajar yang telah berdaftar di bawah program berkenaan layak menerima sumbangan RM100 berkenaan.

Bagi kawasan Air Itam, seramai 2,180 pelajar membabitkan 15 sekolah mula menerima sumbangan masing-masing bermula 19 hingga 30 Mei lalu.

Dalam pada itu, Hon Wai yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri menyeru kepada ibu bapa dan para pelajar di seluruh Pulau Pinang yang belum mendaftar agar segera melakukannya.

“Bagi ibu bapa dan pelajar yang belum mendaftar, boleh berbuat demikian pada kadar segera di pejabat-pejabat ADUN berdekatan.

“Ini kerana, pemberian sumbangan fasa kedua akan disampaikan pada bulan Oktober nanti,” kata Hon Wai.