Edisi khas : Kerancakan pembanguan bidang sains & teknologi di Pulau Pinang

Admin

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Sri Mustapha Mohamed (tengah) diiringi Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng (dua dari kiri), Ketua Pegawai Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq (dua dari kanan) bersama wakil Singapore Aerospace Manufacturing (SAM) merasmikan upacara simbolik pecah tanah Aviatron (M) Sdn.Bhd. di Bukit Minyak, baru-baru ini.
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Sri Mustapha Mohamed (tengah) diiringi Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng (dua dari kiri), Ketua Pegawai Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq (dua dari kanan) bersama wakil Singapore Aerospace Manufacturing (SAM) merasmikan upacara simbolik pecah tanah Aviatron (M) Sdn.Bhd. di Bukit Minyak, baru-baru ini.

 

SELARI dengan arus globalisasi dan dunia moden hari ini, Pulau Pinang di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) pastinya tidak mahu ketinggalan dari aspek pembangunan serta pemampanan dalam bidang sains dan teknologi.

Ternyata Pulau Pinang sering menjadi “lubuk emas” kepada pelabur-pelabur asing yang mengusahakan perniagaan berasaskan kemajuan sains dan teknologi. Perkembangan sektor perkilangan telah menjadi bukti utama kepada kemajuan bidang teknologi moden di negeri ini.

SALAH satu ciptaan robot bersempena Pertandingan Robotik Lego di sini baru-baru ini.
SALAH satu ciptaan robot bersempena Pertandingan Robotik Lego di sini baru-baru ini.

Intel, Dell dan Seagate merupakan antara nama besar dunia dalam perusahaan komponen komputer telah membuktikan keselesaan mereka bertapak lebih dari satu dekad di negeri ini. Selaras dengan kewujudan mereka, pemindahan teknologi yang berlaku telah menguntungkan rakyat negeri ini secara amnya. Pembangunan bakat rakyat tempatan yang bekerja dalam bidang teknologi moden ini, telah mendorong anak tempatan menjadi lebih celik IT.

Terkini, Singapore Aerospace Manufacturing (SAM) telah memperoleh kontrak jangka panjang daripada Goodrich untuk menghasilkan bahagian aero-struktur nacelle (ASN) bagi Boeing 787 Dreamliner, Airbus 350 XWB, Bombardier C Series dan Mitsubishi Regional Jet bakal mendirikan tapak pengilangan baru bertempat di Penang Science Park, Bukit Minyak.

Kerajaan Negeri juga turut bekerjasama secara erat dengan PSDC dalam usaha untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga mahir. Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) juga telah menunjukkan komitmen untuk melatih bakat-bakat baru serta menetapkan Pulau Pinang sebagai pusat kecemerlangan untuk perkembangan sains dan teknologi.

KETUA Menteri (bertali leher) bergambar kenang-kenangan bersama guru dan pelajar salah sebuah sekolah yang menyertai Pertandingan Robotik Lego di KDU baru-baru ini.
KETUA Menteri (bertali leher) bergambar kenang-kenangan bersama guru dan pelajar salah sebuah sekolah yang menyertai Pertandingan Robotik Lego di KDU baru-baru ini.

Selaras dengan itu, Pusat Kerjaya dan Latihan (CAT) telah ditubuhkan pada awal tahun 2009 bagi membantu para penganggur dan mereka yang diberhentikan dilatih serta mengekalkan bakat sedia ada. Misi pusat CAT adalah untuk menjenamakan semula Pulau Pinang sebagai tempat yang sesuai untuk bekerja dan hidup dengan moto baru ‘My Penang, My Workplace’ dengan menitikberatkan peluang, ekonomi dan taraf hidup.

Selain itu, Kerajaan Negeri telah mewujudkan Majlis Sains Negeri Pulau Pinang (Penang Science Council) pada 25 Januari 2010. Majlis ini digerakkan sepenuhnya oleh sektor swasta untuk memasyarakatkan lagi bidang sains dan teknologi. Dengan bertemakan “Ilhamkan Inovasi” (Inspiring Innovation), 5 tonggak utama telah dikenalpasti dan diketuai oleh nama-nama unggul dalam industri seperti Agilent, Motorola, Mini Circuits, Intel dan BBraun.

Salah satu peranan daripada 5 tonggak ini ialah untuk mewujudkan sebuah Pusat Sains dan Teknologi yang akan dikenali sebagai “Penang Tech Center (PTC)” yang dimodelkan mengikut contoh San Jose Tech Centre. Sebidang tanah telah dikenalpasti bagi tujuan pembinaan kompleks ini di Kawasan Perindustrian Bebas Bayan Lepas dan kos pembinaannya dianggarkan berjumlah sekurang-kurangnya RM100 juta yang dibiayai secara berkongsi atau bersama dengan pihak industri/swasta mengikut model “Public Private Partnership”. PTC berfungsi bukan sahaja sebagai pusat pameran perkembangan sains dan teknologi sepanjang pembabitan Pulau Pinang dalam industri pembuatan selama hampir 40 tahun, malah sebagai pusat sehenti (one-stop centre) bagi menyelaras dan memperluas aktiviti industri berkaitan bidang sains dan teknologi di negeri ini dalam usaha memperbanyakkan peluang perniagaan dan melahirkan tenaga kerja profesional yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.