Edisi khas : Pengurusan lalulintas demi keselesaan rakyat

Admin

 

KETUA Menteri menunjukkan tanda bagus ketika menggunakan perkhidmatan bas BEST baru-baru ini.
KETUA Menteri menunjukkan tanda bagus ketika menggunakan perkhidmatan bas BEST baru-baru ini.

 

KONSEP Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) bukan sahaja diterapkan dalam urustadbir hal ehwal politik dan ekonomi, malah konsep CAT tersebut turut digunapakai dalam pelbagai aspek pentadbiran termasuk isu menangani kesesakan lalulintas. Selaras dengan itu, Kerajaan Negeri telah mengambil pelbagai langkah yang proaktif dan berwawasan demi kepentingan dan keselesaan rakyat Pulau Pinang. Antaranya pelaksanaan projek yang melibatkan pelebaran jalan, penyusunan semula arah aliran trafik dan memperkasa perkhidmatan awam.

KETUA Menteri (tiga dari kanan) sambil ditemani barisan Exco Kerajaan Negeri dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Penang Sdn. Bhd., Azhar Ahmad (kanan sekali) mengibarkan bendera Pulau Pinang sebagai gimik pelancaran perkhidmatan bas BEST.
KETUA Menteri (tiga dari kanan) sambil ditemani barisan Exco Kerajaan Negeri dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Penang Sdn. Bhd., Azhar Ahmad (kanan sekali) mengibarkan bendera Pulau Pinang sebagai gimik pelancaran perkhidmatan bas BEST.

Salah satunya ialah perkhidmatan Rapid Penang Sdn. Bhd. (Rapid Penang) yang telah memulakan operasinya pada 31 Julai 2007. Bermula dengan hanya 150 buah bas, kini Rapid Penang mempunyai lebih 350 buah bas yang ditambah secara berperingkat mengikut keperluan dan permintaan awam. Perkhidmatan bas Rapid Penang kini adalah lebih selesa dan mesra pengguna memandangkan jadual perjalanan dan waktu menunggu untuk ke suatu destinasi hanya mengambil masa 20 minit ke 40 minit. Malah, Rapid Penang turut menambah rangkaian dan kawasan liputan yang dilaluinya bagi menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan awam sebagai menyokong hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Pulau Pinang lebih bersih dan hijau.

Selain itu, Rapid Penang dengan kerjasama Kerajaan Negeri turut melancarkan perkhidmatan bas Central Area Transit (CAT) yang beroperasi dalam kawasan pusat bandar George Town pada 23 Januari 2009 lalu. Perkhidmatan bas CAT ini adalah percuma dan ia memudahkan penjawat awam yang bertugas sekitar Georgetown untuk berulang-alik dari tempat kerja dengan menggunakan perkhidmatan awam. Bayaran sebanyak RM60,000 sebulan untuk perkhidmatan tiga buah bas CAT ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

PASUKAN Unit Trafik Penguatkuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP)  menunjukkan cara mengepit tayar pemilik kenderaan yang mengingkari arahan Pihak Berkuasa Tempatan.
PASUKAN Unit Trafik Penguatkuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menunjukkan cara mengepit tayar pemilik kenderaan yang mengingkari arahan Pihak Berkuasa Tempatan.

Terbaru, dengan usahasama jitu Rapid Penang, perkhidmatan bas BEST (Bridge Express Shuttle Transit) telah diperkenalkan pada 1 Mac 2011. BEST merupakan perkhidmatan ‘Park & Ride’ dari Seberang Perai ke Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas melalui jambatan Pulau Pinang. Perkhidmatan BEST ini memberi sinar baru dalam perkhidmatan awam apabila pekerja kilang turut menikmati perkhidmatan percuma selama tempoh percubaan enam bulan ini. Ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri menggalakkan rakyat Pulau Pinang menggunakan perkhidmatan awam sekaligus mampu mengatasi kesesakan lalulintas terutama di waktu puncak. Dalam pada itu, Kerajaan Negeri telah membayar sewaan sebanyak RM160,00 sebulan untuk perkhidmatan 16 buah bas BEST kepada syarikat Rapid Penang demi kepentingan rakyat negeri Pulau Pinang.

Selain itu, satu sistem pengurusan lalu lintas setempat (Localised Traffic Management System Plan) telah dilaksanakan dan akan diperluaskan ke seluruh Pulau Pinang. Sistem pengurusan tersebut menggunakan sistem kawalan lampu isyarat berkomputer dan sistem lalulintas sehala bagi memastikan pergerakan aliran kenderaan adalah lancar dan sistematik serta mampu mengurangkan kesesakan lalulintas di kawasan tumpuan.

Di samping itu, satu Kajian ‘Decongesting Georgetown’, iaitu suatu pelan jangka pendek telahpun siap dan kerja-kerja menambahbaik aliran lalulintas telah dimulakan sejak bulan April 2011 yang lalu. Kerja-kerja tersebut akan dijalankan secara berperingkat dalam mengatasi masalah kesesakan lalulintas.

Kesungguhan Kerajaan Negeri dalam mengurangkan kesesakan lalulintas turut terserlah apabila Kerajaan Negeri memperkenalkan Kajian Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Negeri Pulau Pinang (Penang Transport Masterplan) demi mewujudkan suatu sistem pengangkutan yang bersepadu dan mampan. Kajian ini telah dimulakan pada bulan Mei 2011 dan dijangka akan siap dalam tempoh 11 bulan turut melibatkan penyediaan Rancangan Tempatan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan mengambilkira keadaan aliran semasa dan masa depan dalam usaha membendung kesesakan lalulintas.

Malah, mulai 1 Jun 2011, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) turut berganding bahu dalam menyelesaikan kesesakan lalulintas dengan menunda dan mengunci roda kenderaan (clamping) yang menghalang dan menggangu pergerakan lalulintas. Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) turut menyahut seruan Kerajaan Negeri dan telah melantik pegawal lalulintas sukarela untuk memantau dan mengawal kesesakan di kawasan ‘panas’ dan sering berlaku kesesakan lalulintas di Seberang Perai.

Pelbagai langkah positif telah dan sedang dirangka oleh Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat Pulau Pinang hidup dengan selesa dan mampu bergerak secara produktif demi menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang bertaraf antarabangsa.