Elak banjir, MBPP diseru kaji semula pelan perparitan & mitigasi

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) diminta agar mengkaji semula pelan-pelan perancangan perparitan dan mitigasi banjir di kawasan berhampiran bukit, cerun, kaki bukit dan tadahan air di sini.

Seruan tersebut dinyatakan Ahli Majlis MBPP, Mohamed Yusof Mohamed Noor ketika mengulas mengenai beberapa kejadian banjir yang berlaku di sini sebelum ini.

Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan seharusnya melihat isu banjir sebagai bukan isu yang berlaku secara semulajadi.

“Sebaliknya, ia (banjir) kadang-kadang adalah berpunca daripada perancangan tidak menepati kaedah dan seterusnya menyumbang kepada bencana alam ini.

“Justeru, sebagai tindakan lanjut, sistem pengurusan banjir kilat dan program mitigasi banjir perlu diadaptasi dalam setiap pelan pembangunan, terutamanya di kawasan berhampiran bukit, cerun, kaki bukit dan tadahan air,” katanya pada ucapan penangguhan Mesyuarat Biasa Majlis di Dewan Bandaran, Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Yusof menyatakan bahawa menerusi kajian dijalankan Universiti Sains Malaysia (USM), ia mendapati bahawa serapan aliran air ke tanah di permukaan berumput dan berpokok adalah sebanyak 80 peratus berbanding kawasan berkonkrit (bangunan).

“Apabila hujan lebat, kawasan yang mempunyai bangunan tidak dapat menyerap air dengan berkesan, 95 peratus air yang tidak diserap ini seterusnya akan mengalir terus ke sistem parit utama.

“Sistem peparitan sedia ada umumnya tidak dapat menampung jumlah aliran air yang banyak (antara 20 hingga 95 peratus) dan seterusnya menyebabkan kejadian banjir,’’ jelas beliau.