Elak pembaziran air, capai sasaran nasional

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWNBuat pertama kalinya dalam tempoh sembilan tahun, Pulau Pinang telah mencatatkan penurunan penggunaan air domestik, iaitu 291 liter perkapita sehari pada 2010 kepada 285 liter perkapita sehari tahun lalu.

“Ini adalah bersamaan dengan pengurangan sebanyak 1.9% atau 3.2 bilion liter padu.

“Walau bagaimanapun, sasaran penggunaan air di Pulau Pinang masih jauh ke belakang jika dibandingkan penggunaan air nasional sebanyak 203 liter perkapita sehari,” kata Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng yang juga Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam kenyataannya di sini baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, dalam usaha berterusan ke arah usaha penjimatan air, PBAPP memperkenalkan ‘Water Conservation Surcharge (WCS) pada kadar RM0.24 bagi setiap 1,000 liter padu sekiranya penggunaan melebihi 35,000 liter padu sebulan bagi membendung pembaziran air domestik.

Manakala, jelasnya, tarif air domestik ialah RM0.31 bagi 35,000 liter padu pertama setiap bulan iaitu kadar yang terendah di Malaysia. Pada masa sama, PBAPP juga telah mensubsidi RM58.9 juta (2011) bagi memastikan warga Pulau Pinang menikmati tarif air yang terendah.

“Terdapat 100% liputan bekalan air di kawasan bandar dan 99.7% di kawasan luar bandar Pulau Pinang tahun lalu.

“Ini membuktikan PBAPP sangat cekap dalam pengurusan air walaupun Pulau Pinang hakikatnya sebuah negeri yang tidak mempunyai jumlah air yang banyak,” ujar beliau yang turut menyatakan bahawa kecekapan PBAPP telah mencatatkan jumlah kehilangan air yang terendah di Malaysia iaitu 18.4% (melalui kecurian dan kebocoran paip) dengan Pengurangan Air Tidak Terhasil (Non Revenue Water– NRW) pada 2011.

“Pencapaian tersebut adalah yang terbaik jika dibandingkan dengan purata nasional NRW iaitu sebanyak 36.2% (2010),’’ jelas beliau.

Dalam pada itu, ujar Guan Eng, pemasangan alat-alat penjimatan air atau water saving devices (WSD) juga antara langkah yang diambil oleh PBAPP dalam mengurangkan pembaziran air di Pulau Pinang.

Pada sidang media yang sama, Ketua Menteri turut mengucapkan tahniah kepada PBAPP atas kejayaan mereka memenangi anugerah berprestij ‘WaterLinksbagi ‘Best Water Operator Partnership 2011’.