GEORGE TOWN – Bukan sekadar berlari, sebaliknya Elfy Run 4 You 2026 membawa mesej lebih besar kepada masyarakat Pulau Pinang iaitu gaya hidup aktif perlu berjalan seiring dengan kesedaran terhadap pencegahan dan pengesanan awal penyakit.
Bakal berlangsung pada 15 November 2026, acara larian sejauh lima kilometer (5KM) anjuran Sunway Medical Centre Penang (SMCP) itu menyasarkan 4,000 penyertaan daripada pelbagai lapisan usia, termasuk golongan muda, keluarga, warga emas serta komuniti setempat.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, inisiatif berkenaan bukan semata-mata platform untuk beriadah, malah menjadi platform untuk menyemarakkan budaya hidup sihat dalam komuniti.

Menurutnya, masyarakat tidak perlu menjadi pelari profesional atau mengejar catatan masa terbaik kerana apa yang lebih penting ialah keberanian untuk mengambil langkah pertama ke arah kehidupan yang lebih aktif.
“Lari, joging atau sekadar berjalan, tetapi yang penting kita bergerak.
“Kadangkala perubahan kepada gaya hidup lebih sihat tidak memerlukan perubahan besar, sebaliknya boleh bermula dengan perkara mudah seperti berjalan kaki, menggunakan tangga berbanding lif atau meluangkan lebih banyak masa aktif bersama keluarga,” katanya pada sidang media di Komtar dekat sini sebentar tadi.
Turut hadir, Ketua Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Komunikasi Korporat SMCP merangkap Pengerusi Elfy Run 4 You 2026, Abbey Ong; Timbalan Pengarah Kanan (Perubatan), Bahagian Kesihatan Awam, Seksyen Penyakit Tidak Berjangkit, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Leong Yoke Teng dan Pengurus Komunikasi Korporat dan Pemasaran SMCP, Joanne Ooi.
Lebih bermakna, Elfy Run 4 You 2026 turut memperluas mesej kesihatan melalui inisiatif saringan pencegahan apabila SMCP komited menyediakan 1,500 saringan Faecal Occult Blood Test (FOBT) secara percuma kepada individu yang layak sehingga 31 Oktober 2026.
Inisiatif tersebut dilihat melengkapkan objektif acara larian berkenaan kerana kesihatan bukan hanya berkaitan aktiviti fizikal, tetapi turut merangkumi aspek pencegahan, kesedaran dan pengesanan awal.
Kanser kolorektal, khususnya, boleh berkembang tanpa gejala yang jelas pada peringkat awal, sekali gus menjadikan saringan sebagai antara langkah penting bagi mengenal pasti individu yang mungkin memerlukan pemeriksaan lanjut.
Sementara itu, Abbey berkata, acara tersebut dirangka berasaskan satu mesej mudah iaitu penjagaan kesihatan perlu menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian.

Menurutnya, usaha meningkatkan tahap kesihatan masyarakat bukan hanya berkaitan rawatan apabila seseorang jatuh sakit, sebaliknya perlu dimulakan lebih awal menerusi gaya hidup aktif, kesedaran kesihatan dan saringan yang bersesuaian.
“Matlamat utama kami mudah iaitu untuk menggalakkan orang ramai bergerak.
“Anda tidak perlu menjadi pelari serius, anda boleh berlari, berjoging atau berjalan. Datang bersama keluarga, rakan atau rakan sekerja,” katanya.
Beliau berkata, komitmen menyediakan 1,500 saringan FOBT percuma itu juga bertujuan menjadikan saringan lebih mudah diakses masyarakat, selain menggalakkan pengesanan awal.
“Melalui inisiatif ini, kami berharap lebih ramai mengambil langkah proaktif terhadap kesihatan dan tidak menunggu sehingga sesuatu terasa tidak kena sebelum mengambil tindakan,” katanya.
Elfy Run 4 You 2026 menawarkan penyertaan dalam kategori larian santai sejauh 5KM bermula di Sunway Medical Centre, Seberang Perai dengan yuran RM45, yang merangkumi baju-T acara, pingat penamat, lanyard atau gelang tangan, minuman ringan serta e-sijil.
Pendaftaran boleh dibuat melalui pautan http://t2u.asia/e/50600. Sebarang pertanyaan boleh hubungi 016-531 0737.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS