HBM cipta sejarah, satu-satunya hospital kerajaan diiktiraf 250 terbaik dunia dalam kelestarian

bel 5260

HOSPITAL Bukit Mertajam (HBM) mencipta sejarah apabil diiktiraf sebagai antara 250 hospital paling hijau di menerusi penarafan World’s Greenest Hospitals 2026 oleh Newsweek dan Statista, sekali gus menjadi satu-satunya hospital kerajaan Malaysia yang tersenarai dalam pengiktirafan berkenaan.

Pengarah HBM, DR. S. PRASHANT berkata, pengiktirafan global itu amat bermakna kerana penilaian berkenaan melibatkan lebih 4,000 hospital di seluruh dunia dan dibuat berdasarkan pelbagai data serta maklumat yang tersedia secara awam.

bel 5168
Dr. S. Prashant.

Menurutnya, pihak HBM sendiri tidak menyedari bahawa hospital berkenaan sedang dinilai sehingga menerima pengiktirafan tersebut.

“Ini merupakan satu pengiktirafan global yang baharu dalam menilai aspek sustainability / greenness atau kelestarian hospital dan apa yang menariknya, kami sendiri tidak sedar bahawa HBM sedang dinilai.

“Daripada lebih 4,000 hospital, HBM berjaya disenaraikan dalam kelompok 250 terbaik dunia dan merupakan satu-satunya hospital kerajaan Malaysia dalam senarai tersebut,” ujar beliau dalam wawancara khas bersama penulis Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS di HBM pada 24 Ogos 2026.

 

Beliau berkata, penilaian berkenaan mengambil kira enam kategori utama iaitu Sustainability Performance Data sebanyak 40 peratus, Expert Recommendation (30 peratus), Certification and Accreditation (14 peratus), Achievement and Recognition (10 peratus), Reporting Transparency (dua peratus) dan Commitment and Pledge (empat peratus).

“Penilaian prestasi kelestarian meliputi aspek seperti pelepasan gas rumah hijau (GHG) serta pengurusan air dan sisa, manakala penilaian pakar pula melibatkan pandangan pakar kelestarian dan pengurus fasiliti hospital dari seluruh dunia.

“Selain itu, pensijilan dan akreditasi yang dimiliki, pencapaian serta pengiktirafan yang diterima dan tahap ketelusan dalam melaporkan serta berkongsi data kelestarian turut diambil kira,” jelasnya.

Sektor kesihatan perlu seiring agenda kelestarian

Dr. Prashant menyatakan bahawa pengiktirafan berkenaan membuktikan aspek penjagaan alam sekitar semakin penting dalam sektor kesihatan, memandangkan operasi hospital turut menyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau global.

Menurutnya, sektor penjagaan kesihatan dianggarkan menyumbang sekitar empat hingga lima peratus daripada pelepasan gas rumah hijau global.

“Apabila kita bercakap mengenai ‘planetary health’, kita bukan sahaja perlu memastikan pesakit mendapat rawatan terbaik, tetapi pada masa sama kita perlu melihat bagaimana operasi hospital memberi kesan kepada alam sekitar.

“Jadi, cabarannya adalah untuk mencari keseimbangan antara memberikan perkhidmatan kesihatan berkualiti dengan mengurangkan jejak karbon dan impak terhadap alam sekitar,” kata beliau.

Beliau memberitahu bahawa usaha berkenaan juga selari dengan aspirasi Malaysia untuk mencapai neutral karbon menjelang 2050, justeru agenda kelestarian perlu dilihat secara lebih menyeluruh dalam sektor kesihatan.

bel 5206
Bersama-sama pasukan yang menjayakan agenda lestari.

Penjimatan tenaga

Dalam pada itu, Dr. Prashantmemberitahu bahawa HBM berjaya mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 10.8 peratus pada 2024, dengan penjimatan hampir RM250,000.

Pencapaian itu, katanya, dipertingkatkan pada 2025 apabila penggunaan tenaga berjaya dikurangkan sebanyak 23.9 peratus, menghasilkan penjimatan kira-kira RM504,000.

“Ini menunjukkan bahawa usaha kelestarian tidak semestinya memerlukan kos yang tinggi.

“Banyak perkara boleh dilakukan melalui perubahan operasi, pemantauan penggunaan serta memastikan tenaga digunakan secara lebih cekap,” katanya lanjut.

Jelasnya, HBM turut merekodkan penjimatan penggunaan air sebanyak 43 peratus melalui pelaksanaan sistem pungutan air hujan, penggunaan semula air melalui sistem reverse osmosis serta kitar semula air untuk kegunaan tandas.

Dari aspek pengurusan sisa pula, beliau memaklumkan bahawa sebanyak 27,600 kilogram bahan kitar semula berjaya dikumpulkan pada tahun 2025.

Selain itu, sisa taman turut dikitar semula untuk dijadikan kompos baja dengan jumlah kira-kira 1.17 tan.

Pendigitalan

Menurut Dr. Prashant, pendigitalan turut memainkan peranan penting dalam mengurangkan pembaziran serta kos operasi hospital.

Jelas beliau, HBM berjaya mengurangkan keperluan mencetak filem x-ray apabila kira-kira 95 peratus imej x-ray kini diakses secara digital.

“Secara keseluruhan, kira-kira 57,000 filem x-ray tidak perlu dicetak yang mana ini bukan sahaja mengurangkan penggunaan bahan, malah memberikan penjimatan sekitar RM229,000.

“Pada masa sama, inisiatif ini mempercepatkan proses kerana imej boleh diakses secara digital tanpa perlu menunggu filem dicetak,” ulasnya.

HBM turut mengambil langkah mengurangkan perjalanan pesakit ke hospital lain dengan menyediakan kemudahan imbasan CT.

Kongsi beliau, sebanyak 7,159 imbasan CT yang dilakukan pada tahun 2025 di HBM membantu mengurangkan keperluan penghantaran pesakit ke fasiliti lain, sekali gus mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan karbon berkaitan perjalanan.

bel 5279

Rekod pengiktirafan kelestarian

Dr. Prashant berkata, pencapaian HBM dalam bidang kelestarian bukan sesuatu yang baharu kerana hospital berkenaan sebelum ini telah menerima pelbagai pengiktirafan pada peringkat tempatan, Asia dan antarabangsa.

Antaranya, anugerah Most Sustainable Hospital di Hospital Management Asia Awards 2025, pengiktirafan berkaitan bangunan hijau, penarafan tiga bintang bagi Energy Management Gold Standard (EMGS), keahlian Global Green and Healthy Hospitals (GGHH) serta penyertaan dalam Race to Zero.

“HBM sebelum ini telah menerima pelbagai pengiktirafan, termasuk pada peringkat Asia, tetapi apabila kita dibandingkan dengan hospital-hospital di seluruh dunia, dan berjaya berada dalam 250 terbaik, ia memberikan satu dimensi yang berbeza.

“Ia menunjukkan usaha yang dilakukan oleh seluruh warga HBM mempunyai impak dan diiktiraf pada peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Sasaran karbon neutral dan sifar sisa

Mengulas perancangan masa depan, Dr. Prashant menjelaskan bahawa HBM menyasarkan untuk berkembang sebagai fasiliti karbon neutral dan mencapai aspirasi zero-waste.

Tambah beliau, hospital menetapkan sasaran untuk mengurangkan penggunaan tenaga sekitar 10 peratus setiap tahun, di samping meningkatkan kadar kitar semula dan mengurangkan pembaziran air.

HBM turut merancang memperluaskan penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE), khususnya bagi keperluan pencahayaan jalan dan koridor hospital.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui kos menjadi antara cabaran utama dalam melaksanakan teknologi tenaga boleh baharu secara lebih meluas.

“RE merupakan antara perkara yang sedang kita lihat yang mana kita mahu bermula dengan pencahayaan jalan dan koridor, tetapi kos masih menjadi cabaran.

“Namun, kita perlu melihatnya dalam perspektif jangka panjang kerana matlamatnya bukan sekadar penjimatan kos, tetapi bagaimana kita boleh mengurangkan jejak karbon hospital,” jelasnya.

bel 5275
Baja kompos yang dihasilkan daripada salah satu inisiatif hijau HBM.

Cabaran ubah budaya warga hospital

Dalam pada itu, Dr. Prashant memberitahu bahawa cabaran terbesar bukan semata-mata berkaitan teknologi atau kewangan, sebaliknya perubahan budaya dan pemikiran dalam kalangan warga hospital.

Menurutnya, lebih mudah untuk melaksanakan sesuatu inisiatif berbanding memastikan amalan tersebut terus diamalkan dalam jangka panjang.

“Cabaran paling besar adalah sustainability itu sendiri.

“Kita boleh mulakan sesuatu program dan mencapai pematuhan tetapi untuk menjadikannya sebagai budaya yang diamalkan secara berterusan adalah lebih sukar.

“Kita mahu bergerak from ‘compliance to culture’ yang menjadi sebahagian daripada cara kita bekerja setiap hari,” ulas beliau lanjut.

Beliau memberitahu bahawa HBM turut memberi perhatian kepada pelepasan Skop 3, khususnya jejak karbon yang berkaitan dengan tingkah laku warga hospital seperti penggunaan kenderaan, perjalanan ke tempat kerja, berkongsi kenderaan dan penggunaan kenderaan jabatan.

“Ini adalah perkara yang memerlukan perubahan tingkah laku.

“Kita perlu melihat bagaimana staf boleh mengurangkan perjalanan yang tidak perlu, berkongsi kenderaan dan menggunakan kemudahan secara lebih cekap.

“Memulakan sesuatu memang mudah, tetapi mengekalkan pencapaian itu dalam tempoh panjang memerlukan komitmen semua pihak,” katanya.

Kejayaan hasil usaha bersama

Dalam pada itu, Dr. Prashant turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga HBM yang menjadi antara penggerak utama kejayaan agenda kelestarian hospital berkenaan.

Penghargaan khusus turut diberikan kepada pasukan Edgenta Mediserve Sdn. Bhd. selaku syarikat konsesi, Jabatan Kejuruteraan HBM, ketua-ketua jabatan, pihak pengurusan serta seluruh kakitangan yang bersama-sama melaksanakan pelbagai inisiatif kelestarian.

“Ini bukan kejayaan seorang individu atau satu jabatan sahaja, sebaliknya ia adalah hasil usaha seluruh pasukan.

“Saya amat menghargai komitmen pasukan Edgenta Mediserve, Jabatan Kejuruteraan, ketua jabatan, pihak pengurusan dan semua kakitangan.

“Tanpa kerjasama mereka, pencapaian ini tidak mungkin dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau memberitahu bahawa pengiktirafan World’s Greenest Hospitals 2026 bukanlah titik akhir, sebaliknya menjadi pemangkin kepada HBM untuk terus memperkukuh usaha kelestarian.

“Pengiktirafan ini memberi kita motivasi untuk terus bergerak ke hadapan.

“Kita mahu memastikan penjimatan tenaga, air, pengurusan sisa dan digitalisasi bukan sekadar projek sementara, tetapi menjadi sebahagian daripada budaya hospital.

“Matlamat akhirnya adalah untuk mempunyai fasiliti Hospital Bukit Mertajam yang lebih cekap, karbon neutral dan zero-waste, sambil terus memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat,” katanya menutup bicara.