Sumbangan tahunan SAR kekal RM1.75 juta. Peruntukan Hal Ehwal Agama Islam 2015 ditingkatkan kepada RM58 juta

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri tidak pernah mengurangkan peruntukan tahunan RM1.75 juta untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR), sebagaimana difitnah oleh pihak pembangkang Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, sentimen anti Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang yang disemarakkan oleh pihak tertentu belakangan ini berkemungkinan demi menutup skandal rasuah membabitkan syarikat pelaburan Kerajaan Pusat, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Adalah fitnah untuk menyatakan bantuan kepada SAR dihentikan atau dikurangkan kerana RM1.75 juta tetap dibayar setiap tahun.

“Jelas sekali golongan politik yang antiKerajaan Negeri Pakatan Harapan, sedang giat membakar sentimen perkauman dan ekstrimis agama, dengan apa-apa pun fitnah jahat untuk cuba menutup skandal rasuah kewangan RM42 bilion 1MDB dan derma RM2.6 bilion (ke) dalam akaun peribadi Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, peruntukan Hal Ehwal Agama Islam bagi tahun 2009 direkodkan berjumlah RM37.25 juta, diikuti, RM39.60 juta (2010), RM65.27 juta (2011), RM66.38 juta (2012), RM55.13 juta (2013), RM52.21 (2014) dan RM58.13 juta (2015).

Sementara itu, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim dalam kenyataan berasingan menyatakan bahawa Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif menyalurkan sumbangan berjumlah RM1.5 juta kepada institusi pendidikan Islam khususnya SAR yang memerlukan bantuan dan memenuhi kriteria.

Sumbangan tersebut kemudiannya dikembangkan kepada Maahad Tahfiz dan Tadika Islam (TADIS) pada tahun berikutnya setelah Kerajaan Negeri meningkatkan sumbangan kepada RM1.75 juta.

“Hasil sumbangan tersebut, beberapa SAR telah menambahbaik kemudahan infrastrukturnya, antaranya pada tahun 2009, Madrasah Al-Aminiah Permatang Pauh telah berjaya mewujudkan makmal sains pertama SAR di Pulau Pinang,” jelas beliau.

Tambahnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, sumbangan tersebut umumnya bukan geran tahunan atau bantuan tetap yang difahami sesetengah pihak yang menganggap ia adalah hak mereka, sebaliknya, ia adalah sumbangan tahunan Kerajaan Negeri kepada institusi pendidikan agama di Pulau Pinang yang tidak pernah dilakukan kerajaan terdahulu.

Penerima dan nilai sumbangan adalah berubahubah setiap tahun bergantung kepada keperluan dan kelayakan institusi berkaitan.

“Sehingga kini, Kerajaan Negeri telah menyumbang sebanyak RM13.75 juta, tidak termasuk bajet pembangunan dan sumbangan bonus hari raya serta bonus akhir tahun kepada para guru dan pentadbir institusi agama di negeri ini.

“Malah, bermula tahun ini, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mendapati terdapat keperluan mendesak di enam Sekolah Pondok yang tidak pernah menerima sumbangan berkenaan sebelum ini.

“Makanya, sumbangan kepada beberapa buah SAR termasuk Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum (SRIBU) dan Sekolah Rendah Islam AlAnsor (SRIA) telah diagihkan kepada Sekolahsekolah Pondok yang mana Kerajaan Negeri melihat keperluannya adalah lebih mendesak,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Malik memberitahu bahawa berdasarkan rekod, SRIBU dan kakitangannya telah menerima sumbangan setiap tahun sejak 2010 berjumlah RM276,500.

“Manakala SRIA yang diluluskan pendaftarannya pada 1 Jun 2011 dan kakitangannya telah menerima sumbangan bermula pada tahun 2013 berjumlah RM111,500 bagi tujuan pengurusan, alat bantu mengajar, perpustakaan dan saguhati guru,” ujar beliau.

Katanya, pada tahun 2015, sebanyak 176 institusi pendidikan agama menerima sumbangan Kerajaan Negeri berjumlah RM1.75 juta, iaitu, tujuh Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) menerima sumbangan RM435,500; RM249,500 untuk 11 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK); RM381,100 untuk tujuh Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) sepenuh masa; RM178,200 untuk 27 Maahad Tahfiz; RM388,800 untuk 104 KAFA Integrasi; RM26,900 untuk 14 Tadika Islam (TADIS) dan RM90,000 untuk enam Sekolah Pondok.

“Kerajaan Negeri kesal apabila ditohmah kononnya telah menghentikan sumbangan kepada semua institusi pendidikan milik ahli PAS.

“Tohmahan itu tidak berasas, terdapat banyak sekolah di bawah pentadbiran ahli dan kepimpinan PAS yang menerima sumbangan Kerajaan Negeri ini,” tegasnya sambil menyatakan bahawa Kerajaan Negeri mendapati terdapat kekeliruan berhubung dakwaan Mudir Am SRIA sebelum ini.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);