Enam hentian bas papar ceritera sejarah & warisan Pulau Tikus

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : LAW SUUN TING

PULAU TIKUS – Enam perhentian bas di sini barubaru ini dipilih bagi memaparkan ceritera sejarah dan warisan penduduk Pulau Tikus yang berbilang kaum.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey berkata, setiap satu perhentian bas memaparkan ceritera satu kaum yang diilhamkan mengikut bangsa komuniti setempat.

“Setiap perhentian bas membawa ilustrasi komik yang menarik mengenai warisan budaya masyarakat di Pulau Tikus, antaranya, bangsa Serani (Eurasian), Cina, Melayu, India, Thai dan Myanmar (Burmese),” katanya pada majlis pengenalan perhentian bas berkaitan di sini baru-baru ini.

Turut sama, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Chris Lee Chun Kit serta dua individu tempatan yang potretnya diabadikan di ‘kanvas’ perhentian bas iaitu tukang baiki jam, Mohd. Fathi SK Abdul Rahman Rafee atau lebih dikenali sebagai ‘Uncle Arab’ dan pemilik kedai biskut Ban Joo Lee Biscuits, Neoh Eng Tek.

Diinspirasikan melalui projek ‘Connecting with Our Heritage’, Soo Huey memberitahu bahawa inisiatif tersebut merupakan pendekatan komuniti sulung seumpamanya yang diadakan di Pulau Pinang.

“Matlamatnya adalah untuk memberitahu pengunjung bahawa Pulau Tikus unik dan mempunyai sejarah serta warisannya yang tersendiri. Kami berbangga dengan persekitaran serta warisan yang wujud dalam komuniti ini sejak zaman berzaman.

“Inilah yang ingin kami tampilkan, beritahu semua orang, bahawa setiap komuniti mempunyai ceriteranya tersendiri. “Buat masa ini, hanya tiga perhentian bas siap sepenuhnya iaitu di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Pulau Tikus di Jalan Burma, Jalan Kelawai berhampiran Jalan Jones dan di Lengkok Burma,” jelas beliau.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);