ADUN saran guna aplikasi WhatsApp banteras jenayah

SERI DELIMA – Penduduk Lorong Delima 13, Island Glades di sini disarankan menggunakan aplikasi pesanan segera, WhatsApp sebagai langkah membantu membanteras kes-kes jenayah di kawasan kejiranan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer berkata, komuniti di kawasan kejiranan berkaitan dicadangkan mempunyai satu kumpulan WhatsApp yang masing-masingnya terdiri daripada komuniti setempat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK), beliau sendiri selaku ADUN kawasan dan pihak polis.

Jelasnya, penggunaan WhatsApp bukan sahaja pantas, malah lebih mudah memandangkan aplikasi tersebut juga membolehkan mereka mengirimkan gambar mahupun video pendek selain menghantar pesanan teks.

“Kemudahan ini membolehkan komuniti yang berada di dalam kumpulan WhatsApp tersebut menyalur dan berkongsi maklumat dengan cepat agar tindakan segera dapat diambil oleh pihak polis.

“Saya percaya ia dapat membantu membendung kes-kes pecah rumah dan kecurian yang dilaporkan di kejiranan ini,” katanya ketika mengadakan dialog tertutup bersama-sama penduduk di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Syerleena Abd. Rashid dan D.R. Kala serta Ketua Balai Polis Cawangan Jelutong, Asisten Superintenden Polis (ASP) Rohizad Halim.

Mengulas lanjut, Rayer memberitahu bahawa pihaknya menerima beberapa aduan kes pecah rumah sejak November tahun lalu, beberapa selain beberapa maklum balas berkaitan individu yang mencurigakan sering kelihatan di sekitar kawasan tersebut.

“Kerisauan penduduk di sini melibatkan soal keselamatan dan saya serta pihak polis komited untuk meningkatkan usaha membendung kes-kes jenayah di sini.

“Ia termasuk menyalurkan peruntukan khas bulanan berupa bayaran sewa sebuah rumah untuk dijadikan pondok polis komuniti dalam usaha mencegah jenayah,” ujar beliau.

if (document.currentScript) {