England juara Mini World Cup Dr. Afif

Admin

O l e h : AHMAD ADIL MUHAMAD

SEBERANG JAYA – Kejohanan futsal, Mini World Cup 2014 Dr. Afif menyaksikan pasukan anak muda yang menggunakan nama jolokan negara England muncul juara apabila berjaya menewaskan pasukan (dengan nama jolokan) Republik Korea pada pusingan final di sini baru-baru ini.

Pada perlawanan akhir berkenaan, England berjaya menewaskan Republik Korea dengan 5-4 melalui sepakan penalti.

Ekoran itu, selain medal, England berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM2,000, Republik Korea (RM1,500) dan Switzerland yang berjaya di tempat ketiga (RM500).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin semasa majlis penganjuran kejohanan tersebut adalah untuk meraikan kejohanan Piala Dunia Brazil 2014.

“Serentak itu, ia adalah untuk menarik minat anak muda mengamalkan gaya hidup sihat di samping mempamerkan bakat yang masing-masing terpendam,” ujarnya yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan.

Turut hadir, Pengurus Besar Pasaraya Sunway Carnival, Chow Heng Wah dan Ahli-ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Ahmad Tarmizi Abdullah dan Abdul Jalil Che Ros.

Menurut Heng Wah, pihaknya amat berbesar hati menaja lokasi perlawanan yang berjaya mengumpulkan anak-anak muda untuk berentap dalam kejohanan berkenaan.

“Melihat kepada penyertaan ini, saya amat berbesar hati untuk menjalankan lebih banyak lagi program berorientasikan komuniti setempat kelak.

“Ini termasuk menjadikan acara ini sebagai program tahunan yang mana turut membabitkan kerjasama dengan ADUN-ADUN lain,’’ jelas beliau.