SERI DELIMA – Pendidikan untuk pembangunan lestari (ESD) bukan sekadar satu program tambahan tetapi juga satu pendekatan holistik yang membentuk pelajar menjadi ejen perubahan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng, ESD juga selari dengan matlamat pembangunan lestari Sustainable Development Goals (SDGs) peringkat global.
“Malah ESD turut mendukung dasar pendidikan negara yang menekankan pembentukan insan yang seimbang dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani.
“Mereka bukan sekadar belajar tentang alam sekitar dalam bilik darjah, tetapi mempraktikkannya melalui projek kitar semula, pertanian, projek inovasi dan pelbagai inisiatif hijau yang mendidik secara langsung dan tidak langsung.
“Inilah model sekolah abad ke-21 yang bukan sahaja menumpukan akademik, tetapi juga kesedaran sivik dan tanggungjawab alam sekitar,” ujarnya ketika Majlis Perasmian Program ESD 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Mohamed Nor Ahmad di sini pagi tadi.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Timur Laut, Zulfakri Zulkifli; Pengetua SMK Datuk Haji Mohamed Nor Ahmad, Amran Othman; guru-guru dan murid-murid terlibat.
Mengulas lanjut, Hooi Peng memberitahu bahawa isu perubahan iklim, pencemaran dan kekurangan sumber asli adalah cabaran besar di abad ini.
“Justeru, usaha seperti ESD ini adalah pelaburan jangka panjang. Apa yang kita pupuk hari ini dalam minda dan jiwa anak-anak kita akan menentukan masa depan negara dan bumi ini.
“Kerajaan Negeri, khususnya DUN Seri Delima, amat menyokong usaha seumpama ini. Saya percaya pendidikan ialah kunci kepada perubahan dan perubahan bermula pada peringkat akar umbi di sekolah, rumah dan komuniti,” ulasnya lanjut.
Hooi Peng sebelum ini turut menyampaikan sumbangan RM2,000 kepada SMK Datuk Haji Mohamed Nor Ahmad untuk projek pembangunan lestari.
Sebentar tadi, Hooi Peng mengumumkan permohonan beliau kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM5,000 untuk projek sama juga sudah diluluskan.
Pada program tersebut, beberapa projek pameran kelestarian hijau turut diadakan dan projek vermikompos antara yang menarik perhatian lensa Buletin Mutiara.

Guru penyelaras projek vermikompos, Law Yee Chen ketika ditemui memaklumkan bahawa projek tersebut adalah sebahagian daripada usaha kitar semula sisa kompos seperti buah-buahan dan sayur-sayuran untuk menghasilkan baja semula jadi.
Vermikompos adalah kaedah menggunakan cacing yang diberi makan sisa organik terutamanya sisa buangan daripada pasar sebelum dicerna oleh cacing jenis African Night untuk diproses melalui pembuangan najis dan urin.

“Projek vermikompos ini sebenarnya bermula sejak tahun 2023, hasil kerjasama kajian yang dijalankan oleh Universiti Sains Malaysia (USM).
“Masa itu, USM bawa tiga tong untuk demonstrasi menghasilkan baja kompos, perlahan-lahan cacing tersebut turut membiak.
“Masuk tahun 2024, kami (SMK Datuk Haji Mohamed Nor Ahmad) mula mengorak langkah, mempromosikan projek vermikompos ini kepada peringkat komuniti,” maklum Yee Chen lagi.
Pada tahun 2025, pasukan bimbingan Yee Chen berjaya menyertai pertandingan Toyoto Eco Youth dan berjaya disebaraikan dalam kalangan pasukan 30 teratas.
“Jadi dari sini kami perlu luaskan skop capaian projek ini kepada komuniti setempat.
“Macam bulan lepas, kita mula di Pasar Awam Taman Tun Sardon dan banyak lagi komuniti yang perlu mengetahui tentang projek ini sebelum dibentangkan untuk Toyoto Eco Youth.
“Tempoh pertandingan ini berlangsung daripada bulan Mei sehingga September 2025,” katanya.