Exco agresif lawat tapak projek rumah awam supaya lancar ikut jadual

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

BATU MAUNG – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, pihaknya secara lebih agresif akan terus meninjau tapak-tapak pemajuan perumahan awam di seluruh negeri ini, supaya kerja-kerja boleh siap mengikut jadual.

Beliau berkata demikian ketika melawat tapak projek pembinaan dua blok rumah pangsa Duo Residensi Teluk Kumbar di sini, 6 September lalu.

“Kalau ikut jadual (kerja-kerja di tapak pemajuan), sepatutnya 27.5 peratus siap, tetapi keadaan sebenar ketika ini (6 September 2016) baru 26.5 peratus siap, ertinya 1 peratus ketinggalan.

“Kita perlu memahami perbezaan antara projek (Fasa 1 Bandar Cassia) Batu Kawan dan di Teluk Kumbar, di tapak ini (Duo Residensi) adalah tapak pemajuan yang lebih mencabar kerana kerja-kerja pembinaan di kaki bukit.

“Kita (Kerajaan Negeri) mahu memastikan kerja-kerja pembinaan rumah awam lancar mengikut jadual,” katanya.

Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik dan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun, pegawai-pegawai Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri serta wakil Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) turut sertai lawatan tersebut.

Mengulas lanjut, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat memberitahu, syarikat kontraktor Teh Kean Sai Sdn. Bhd. memajukan projek tersebut di atas tanah lot 865, 866 dan 873 dekat Mukim 9 Daerah Barat Daya di Jalan Teluk Kumbar sejak bulan Julai 2014 dan dijadualkan siap pada Disember 2017.

“Blok pertama 26 tingkat terdiri daripada 175 unit rumah dengan luas lantai 850 kaki persegi, luas lantai 1,000 kaki persegi (174 unit). Manakala satu blok lagi 25 tingkat terdiri daripada 346 unit rumah dengan luas lantai 700 kaki persegi,” jelasnya.

Daripada maklum balas wakil pemaju, Jagdeep memberitahu, komponen lain yang turut dibina di sini antaranya, dua unit kedai pejabat empat tingkat, pejabat tiga tingkat (5), parkir tujuh tingkat (1 blok) dan surau di bumbung bangunan tersebut.

Sebelum itu, Jagdeep turut membuat tinjauan kerja-kerja pemajuan projek pembangunan bercampur yang keseluruhannya mengandungi 25 fasa atas tanah lot baharu 282 dekat Mukim 13 di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

Katanya, kerja-kerja pemajuan fasa satu ‘Suria 1’ Bandar Cassia, Batu Kawan terdiri oleh 520 unit rumah mampu milik (RMM) itu sepatutnya telah siap 73 peratus, tetapi ketika ini ketinggalan 3 peratus di belakang.

“Mengikut pecahan, 520 unit RMM itu terdiri daripada 273 unit rumah dengan luas lantai 1,000 kaki persegi, luas lantai 900 kaki persegi (98) dan luas lantai 800 kaki persegi (149),” ujarnya.

Difahamkan, kontraktor Buildtech Project Management Sdn. Bhd. memulakan kerja-kerja pemajuan pada Disember 2013 dan dijangka siap sepenuhnya Disember tahun ini.

Fasa 1 projek itu terdiri oleh tiga blok pangsapuri, lima unit kedai (lock up shop) serta satu blok tiga tingkat untuk parkir kereta dan motosikal.

Dua blok pangsapuri kos sederhana rendah (KSR) 12 tingkat dan 14 tingkat (KSR Jenis A) masing-masing terdiri daripada 149 unit rumah.

Satu lagi blok pangsapuri KSR Jenis B setinggi 19 tingkat terdiri daripada 222 unit RMM. Sehingga Disember 2023, sebanyak 26,255 unit RMM pelbagai kategori akan dibina di negeri ini, iaitu 7,117 unit di bahagian pulau dan 19,138 unit lagi di bahagian Seberang Perai.

} else {